Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Tiga bongkah batu berbentuk unik yang ditemui berhampiran penempatan Madrasah Khairul Insan (MKI), terus menjadi tanda tanya terutama dalam kalangan penduduk setempat.

Pengerusi MKI Mohd Ariff Yong berkata, batu unik seperti mercu tanda itu ditemui penghuni MKI lebih 15 tahun lalu, namun ketika itu bongkah batu itu hanya kelihatan daripada permukaan tanah kurang daripada 0.5 meter dan penemuan itu dianggap biasa, selain hanya dalam pengetahuan komuniti MKI saja.

Bagaimanapun, menurutnya, awal tahun ini seorang jemaah MKI dikatakan mendapat ‘alamat’ melalui mimpi supaya kawasan penemuan bongkahan batu itu digali dan mereka bergotong-royong selama seminggu bagi menggalinya hingga kedalaman dua meter.

“Bimbang bongkah batu itu terbalik, mereka sepakat tidak ke kawasan batu itu lagi. Kini batu itu dapat dilihat dengan ketinggian tiga meter dan kekal dengan kedudukan itu hingga sekarang.

“Kewujudan bongkah batu itu menjadi tanda tanya dalam kalangan komuniti MKI mahupun penduduk Kampung Jenagur dan kini menjadi perbualan hangat penduduk setempat selepas tular di media sosial mengenai kewujudannya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bongkah batu berkenaan mempunyai hubung kait dengan peninggalan sejarah.

“Daerah Hulu Terengganu kaya dengan sejarah dan dulunya bandar pelabuhan terkenal.

“Bagaimanapun, berikutan belum ada kajian atau penyelidikan dilakukan mana-mana pihak, maka kami tidak boleh membuat sebarang andaian dan rumusan. Namun kami berpendapat ia berkemungkinan ada kaitan dengan aspek sejarah seperti penempatan penduduk pada suatu masa dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 5:51 AM