SEBAHAGIAN PATI yang diperiksa dalam serbuan Op Sapu Imigresen di FELDA Kerteh.
SEORANG PATI memanjat dinding bangunan didiami untuk melarikan diri.
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


Dungun: Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikesan menjadikan kawasan FELDA sebagai penempatan baru mereka yang selamat sebaik masuk ke negeri ini.

Dengan mendiami kediaman dalam kelompok masyarakat FELDA, mereka bebas bergerak dalam penempatan itu bagaikan peneroka tanpa rasa bimbang ditahan pihak berkuasa.

Penempatan FELDA dipercayai menjadi lokasi baru berikutan serbuan demi serbuan dilakukan imigresen di tapak pembinaan dan rumah kongsi menyebabkan golongan pendatang haram terbabit berpindah ke kawasan tanah rancangan itu kerana beranggapan ia selamat kerana lokasinya jauh di kawasan pedalaman.

PATI terbabit yang bekerja mengambil upah di kebun getah dan sawit yang ditahan Jabatan Imigresen, kebanyakannya mendiami rumah yang disewa dalam penempatan itu.

Dalam Op Sapu yang dilakukan sepasukan 19 anggota termasuk pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu bermula jam 6 petang kelmarin hingga jam 5 pagi semalam, 47 PATI ditahan kerana melanggar Akta Imigresen.

Pengarah JIM Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, pihaknya melakukan serbuan di penempatan FELDA Kerteh dan 61 warga asing diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 47 PATI membabitkan 25 lelaki warga Vietnam, Indonesia (18) dan Thailand (empat orang) ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan salah guna pas,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan berusia 21 hingga 50 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan Imigresen.

Dalam serbuan itu, seorang PATI bertindak ala Spiderman apabila memanjat dinding rumah sebelum sembunyi di bumbung dalam usahakan melarikan diri.

Namun, cubaan lelaki berusia 30-an itu gagal apabila dikesan anggota imigresen.

Semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 5:31 AM