KAIN rentang yang dipasang mendakwa Batu Pahat sebagai bandar mesin judi.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Batu Pahat: Polis meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat mengenai kegiatan premis judi berbanding bertindak menggantung kain rentang dengan mendakwa daerah itu sebagai bandar mesin judi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, polis sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membendung sebarang kegiatan perjudian dan maksiat daripada bertapak di daerah berkenaan.

“Daerah Batu Pahat bebas daripada apa jua premis perjudian pusat hiburan keluarga (PHK) dan tiada sebarang Lesen PHK dikeluarkan dan polis tidak pernah menyokong lesen PHK.

“Sebanyak 31 premis seumpamanya digempur sejak Januari lalu hingga semalam (kelmarin) dan kami meminta kerjasama orang ramai tampil memberi maklumat mengenai mana-mana premis judi masih beroperasi bagi tujuan pemeriksaan, rampasan dan tangkapan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, sepanjang operasi dilakukan, pihak polis menahan 43 penjaga premis dan 149 individu disyaki pemain selain merampas 524 buah komputer, tiga tablet serta 29 modem selain wang tunai berjumlah RM8,385.

“Daripada jumlah penjaga premis yang ditangkap, 42 daripadanya lelaki dan seorang wanita tempatan, manakala mereka yang disyaki sebagai pemain membabitkan 131 lelaki tempatan, seorang lelaki warga Indonesia dan dua wanita tempatan dengan semuanya berusia 20 hingga 60 tahun.

“Setakat ini, 10 penjaga premis dan 25 pemain dijatuhi hukuman denda RM2,000 seorang dan mereka menjelaskan bayaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 5:17 AM