DR Zaleha (tengah) menjalani pemeriksaan kesihatan selepas merasmikan Klinik Kesihatan Keluarga UIAM.
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


Kuantan: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, di sini, membuka Klinik Kesihatan Keluarga bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat melakukan pemeriksaan kesihatan.

Klinik beroperasi Februari lalu mampu memenuhi keperluan pesakit dan diselia sepenuhnya Jabatan Perubatan Keluarga Kuliyyah Perubatan UIAM kampus Kuantan.

Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata, kemudahan terkini berkenaan adalah pencapaian terbaik UIAM kampus Kuantan sempena ulang tahun ke-20 pusat pengajian tinggi bertaraf antarabangsa itu.

Katanya, klinik berkenaan dilengkapi beberapa peralatan pemeriksaan kesihatan mampu menerima lebih 100 pesakit sehari dan jumlahnya dijangka bertambah secara berperingkat.

Menurutnya, klinik yang beroperasi 24 jam itu menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik kepada orang ramai termasuk kakitangan UIAM kampus Kuantan, terutama dengan adanya pakar perubatan berpengalaman.

“Sejak beroperasi dua bulan lalu klinik yang mempunyai 10 kakitangan termasuk dua doktor dan pakar perubatan mendapat sambutan menggalakkan. Setiap hari lebih 50 pesakit mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Kemudahan lain di klinik itu adalah khidmat nasihat, pemeriksaan ibu mengandung, klinik susuan bayi, imbasan x-ray serta pemeriksaan kesihatan lelaki dan wanita,” katanya ketika merasmikan Klinik Kesihatan Keluarga UIAM di pusat komersial Jalan Kompleks Dagangan Indera Mahkota, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Kampus UIAM Kuantan Prof Datuk Dr Tariq Abdul Razak.

Zaleha berkata, klinik kesihatan keluarga UIAM mengenakan bayaran berpatutan kepada mereka yang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Caj dikenakan 20 hingga 50 peratus lebih rendah berbanding klinik swasta.

“Penubuhan klinik ini bukan semata-mata inginkan keuntungan, tetapi memberi kemudahan kepada masyarakat dan kakitangan UIAM mendapatkan pemeriksaan dan rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 5:14 AM