Anggota bomba memadam kebakaran di Jalan Tengah, Parit Mahang.
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my

Kuala Selangor: “Ketika kejadian kami semua baru hendak menunaikan solat Subuh serta menyiapkan adik-adik untuk ke sekolah sebelum tiba-tiba pak cik ternampak api di ruang atas rumah,” kata Siti Nur Hawa Aishah Abdul Lali, 24, ketika menceritakan kejadian kebakaran di rumah sewanya, semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi semalam, dia serta tujuh ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang berikutan rumah sewanya di Jalan Tengah, Parit Mahang dijilat api namun tidak membabitkan nyawa.

Menurutnya, dia serta ahli keluarganya yang lain cuba memadamkan api namun gagal berikutan api marak terlalu cepat.

“Kami berlari ke luar rumah dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang berikutan api terlalu marak termasuk sijil kelahiran serta beberapa dokumen penting musnah dalam kebakaran itu.

“Kami semua hanya mampu lihat rumah sewa terbakar sebelum bomba tiba untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya, Ahmad Razali Jaimi berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.21 pagi daripada orang awam yang melihat kebakaran berkenaan ketika mahu ke tempat kerjanya.

“Seramai 19 anggota daripada Balai Bomba Bestari Jaya, Batu Arang dan Balai Bomba Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian.

“Rumah ini terbakar kira-kira 80 peratus kerana api marak terlalu cepat berikutan struktur rumah yang dibina daripada papan,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat jam 7.50 pagi dan tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Kita sedang menyiasat punca kejadian serta jumlah kerugian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 5:12 AM