KEADAAN pagar yang dibina daripada zink di sekeliling kawasan Madrasah Baitil Hamdi.
PELAJAR menghafaz al-Quran.
Salman Hamat
salman@hmetro.com.my


Alor Gajah: Madrasah Baitil Hamdi di Kampung Kemus, Simpang Empat, di sini, yang beroperasi sejak tiga tahun lalu hanya dilengkapi kemudahan ala kadar dan kini, ia menjadi asrama dan kelas bagi lebih 40 murid serta pelajar perempuan berusia tujuh tahun hingga 18 tahun.

Namun atas semangat cintakan ilmu Allah, kekurangan itu tidak melunturkan semangat mereka untuk menghafaz al-Quran dan mempelajari ilmu agama.

Apa yang menyentuh perasaan adalah kata-kata seorang murid, Siti Aishah Mukhlis, 9, yang berminat mendalami ilmu Allah SWT kerana mahu melihat ibunya masuk syurga.

Siti Aishah kini menghafaz enam juzuk al-Quran dan dia ditemani kakaknya, Puteri Nureni, 13, yang menghafaz semua juzuk namun memilih tinggal di madrasah berkenaan bagi mendalami al-Quran.

“Saya rasa seronok setiap kali berjaya menghafaz setiap juzuk al-Quran, perasaan itu menguatkan lagi semangat untuk terus belajar.

“Kakak menjadi pendorong saya. Memang di sini, kemudahan terhad namun kami tidak kisah dengan semua itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mudirah (pengetua wanita) madrasah itu, Nursyafiqah Alwi berkata, asrama dan kelas bagi murid juga pelajar perempuan dipindahkan ke rumah berkenaan selepas bangunan asal di tapak berhampiran musnah dalam kebakaran akibat litar pintas pada 5 Julai 2014.

Katanya, pengurusan madrasah bercadang membina bangunan baru membabitkan asrama untuk lelaki dan perempuan, surau, pejabat serta kelas di atas tanah wakaf juga terletak berhampiran.

“Namun perancangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana kami kekurangan dana. Wang terkumpul hanya RM30,000 dan ia cukup untuk kos meratakan tapak saja.

“Kami kerap berdepan kekangan kewangan terutama membabitkan bil utiliti, sumber pendapatan sekarang bergantung kepada bayaran yuran RM200 setiap murid serta pelajar selain sumbangan atau infak daripada orang ramai.

“Saya juga terharu lihat semangat anak ini yang tidak kisah tidur bersesak dan menjadikan ruang tamu di rumah ini sebagai kelas untuk menghafaz al-Quran,” katanya.

Menurutnya, sebahagian daripada pelajar perempuan berasal daripada keluarga kurang berkemampuan, berikutan itu ada yang tidak dapat membayar yuran mengikut tarikh ditetapkan.
Nursyafiqah berkata, ada pihak mencadangkan supaya yuran dinaikkan bagi menampung kos perbelanjaan yang semakin meningkat.

“Namun kami tidak bercadang naikkan kadar yuran kerana apa dilakukan sekarang adalah untuk menyebar ilmu Allah SWT, selain itu sebahagian besar murid dan pelajar berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Jika naikkan yuran, pasti ada yang tidak mampu sedangkan matlamat asal kami untuk melahirkan ramai lagi individu celik al-Quran. Di sebalik kesukaran dilalui, kami juga kerap didatangi pihak yang menghulurkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, wakil madrasah berkenaan, Sheikh Ahmad Ghazali Sheikh Abdul Rahim berkata, pihaknya memerlukan sehingga RM12,000 setiap bulan untuk menampung kos perbelanjaan murid dan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 5:21 AM