MUZIUM arkeologi yang mempunyai pelbagai kisah menarik.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah yang berada berhampiran kaki Gunung Jerai adalah lokasi menempatkan pelbagai artifak asli.

Ia antara muzium di Malaysia yang mempamerkan koleksi arkeologi membuktikan kewujudan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu-Buddha di Asia Tenggara kurun ketiga hingga ke-12 Masihi.

Pengarah muziumnya, Azman Adam berkata, pengunjung juga boleh melihat aktiviti ekskavasi dan kajian arkeologi dilakukan pengkaji terdahulu menerusi artifak lama yang dipamerkan.

Maklumat penting turut dikongsi termasuk aktiviti kajian arkeologi di Lembah Bujang yang dimulakan pengkaji dari Barat pada 1936 hingga 1937.

“Bermula sekitar 1970-an hingga awal 2000 bermula era pengkaji tempatan melakukan kerja penyelidikan dan mencari gali khazanah lama di kawasan Lembah Bujang.

“Boleh dikatakan semua koleksi terdapat di muzium ini adalah asli dan dipamerkan hasil ekskavasi pengkaji Barat dan tempatan yang terbabit dalam kajian arkeologi,” katanya.


PETA yang menceritakan keluasan Lembah Bujang.

Artifak Arkeologi yang dipamerkan dalam muzium ini adalah bahan yang membuktikan Lembah Bujang pernah menjadi pelabuhan antarabangsa.

Ia menjadi pusat perdagangan pernah dikunjungi pedagang yang menguasai jalan perdagangan laut antara negara di Timur dan Barat terutama China, India dan Arab.

Pada masa sama, pedagang Melayu dari Kepulauan Melayu menguasai rempah-ratus dan hasil hutan eksotik sejak kurun kelima.

Azman berkata, bagi menarik kehadiran orang ramai ke muzium ini, pihak muzium mengadakan program seperti Bicara Arkeologi yang menjemput pelbagai pakar dalam bidang berkenaan untuk berkongsi pengetahuan dengan pengunjung.

“Kami juga mengadakan program bermalam di muzium yang boleh disertai orang ramai dan pelbagai agenda disusun bagi merancakkan aktiviti pada program berkenaan,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan jumlah pelawat, katanya, pihak muzium menerima 11,000 hingga 13,000 pengunjung sebulan dan ia sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.


KOLEKSI arkeologi dipamerkan kepada pengunjung.

“Pada tahun lalu saja, kami mampu menarik kehadiran lebih 160,000 pengunjung dan menjangkakan ia terus meningkat pada tahun ini memandangkan aktiviti melawat muzium semakin mendapat perhatian umum,” katanya.

Muzium Arkeologi Lembah Bujang mempunyai ribuan koleksi yang memberi peluang kepada penyelidik yang berminat membuat kajian mengenai perdagangan dan peradaban manusia sebelum Islam di Semenanjung.

Koleksi arkeologi yang terdapat di muzium ini membuktikan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan utama di Asia Tenggara pada kurun ketiga hingga ke-14 Masihi.

Ia terdiri daripada bahan dagangan yang dibawa pedagang Arab, China, India dan pedagang maritim tempatan di Kepulauan Melayu seperti seramik, manik kaca serta rempah-ratus.


CANDI Pendiat masih utuh menunggu pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 10:55 AM