GALERIA Perdana antara yang menarik untuk anda kunjungi.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Cuti panjang minggu lalu tentunya memberi peluang kepada anda untuk bersantai dengan keluarga atau sahabat handai.

Ahad minggu lalu juga adalah Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September saban tahun untuk mengenang sejarah penubuhan pertubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh sama 1963.

Tanggal 31 Ogos lalu pula menjadi tarikh keramat untuk rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-61 yang diadakan cukup meriah di seluruh negara.

Jiwa patriotik masyarakat untuk menyambut tarikh bersejarah ini terserlah kerana boleh dikatakan dari peringkat kanak-kanak lagi kita sudah dipupuk untuk bersyukur dan menghargai kejayaan demi kejayaan yang dikecapi negara.

Memandangkan dalam tempoh dua bulan ini iaitu Ogos dan September terdapat pelbagai sambutan hari bersejarah, Santai mengambil kesempatan berkongsi lokasi menarik yang menyingkap kisah pelbagai bingkisan sejarah untuk terus dihargai.

Terletak di Pulau Langkawi yang begitu sinonim dengan legenda Mahsuri dan keindahan pulau di sekelilingnya, Galeria Perdana antara yang menarik untuk anda kunjungi.


LALUAN antara galeri yang mempamerkan pelbagai potret Perdana Menteri yang dihadiahkan kepada beliau.

Galeri itu yang menempatkan pelbagai hadiah pemberian rakyat negara ini, ketua negara asing dan pemain pelbagai industri tempatan dan luar negara kepada Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamed. Semua pemberian itu diterima ketika beliau memegang jawatan berkenaan pada 1981 hingga 2003 dan 10 Mei lalu hingga kini.

Dirasmikan pada 3 Disember 1995 dan dibuka kepada orang ramai pada April 1996, ternyata ia antara galeri yang cukup mengagumkan terutama buat pengunjung yang kali pertama bertandang.

Uniknya Galeria Perdana mempunyai saiz yang boleh dikatakan memukau pandangan sebaik saja anda tiba di situ.


PELANCONG asing mengambil kesempatan merakam gambar di salah satu kenderaan tradisional pernah diterima Perdana Menteri.

Angka keluasan lantainya tidak dapat dipastikan secara tepat bagaimanapun, ia terdiri daripada tiga bangunan mempunyai enam tingkat dan satu tingkat tambahan yang menjadi jejambat antara bangunan.

Dalam lawatan itu, penulis ditemani Pengarah Galeria Perdana, Mohd Najib Adnan yang berkongsi pelbagai kisah menarik yang ramai antara kita kurang mengetahuinya.

Mohd Najib berkata, Tun Mahathir memberikan 9,155 barangan terdiri daripada pelbagai segmen seperti pakaian, lukisan, arca, barangan kulit, kayu, kenderaan, wang asing, setem, senjata, perhiasan diri hingga sebuah kapal yang dipamerkan di luar galeri.


MOHD Najib menunjukkan antara koleksi lama yang boleh didapati di perpustakaan galeri.

Katanya, daripada jumlah itu hanya 3,000 barangan dipamerkan kepada pengunjung dan selebihnya disimpan di dalam stor yang semakin padat memandangkan barangan Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali begitu banyak.

“Bagi Perdana Menteri dan isteri, barangan yang diterima adalah untuk jawatan mereka dan bukan hak individu. Disebabkan itu semua barangan yang diterima perlu dipulangkan kepada negara bukan sebagai simpanan peribadi.

“Sebenarnya banyak lagi koleksi yang ingin mereka serahkan kepada pihak galeri. Bagaimanapun, stor simpanan di sini sudah mencapai tahap maksimum untuk memasukkan barangan milik mereka berdua,” katanya.


BASIKAL juga antara yang pernah dihadiahkan kepada Dr Mahathir.

Ketika berada di dalam galeri itu, perkara pertama memukau pandangan sudah tentu siling bangunan yang mempunyai reka bentuk Timur Tengah. Satu bahagian diserikan dengan warna merah dan satu bahagian lagi biru mendominasi seni binanya.

Rekaan siling itu adalah hasil sentuhan pereka dalaman dari Uzbekistan membabitkan kerja melakar, melukis hingga peringkat mewarna menggunakan tangan sepenuhnya.

Jika dilihat dari jarak dekat sekali pun, kerja seni halus yang dipersembahkan artis berkenaan sungguh sempurna biarpun tidak menggunakan sebarang teknologi moden.


KEINDAHAN seni bina siling dihasilkan kerja tangan sepenuhnya.

Ketika berada di ruang utamanya, terdapat beberapa pelancong asing yang sanggup berbaring di tengah-tengah galeri semata-mata untuk menikmati keindahan seni lukis siling berkenaan.

Berada di kawasan pameran di aras kedua pula kelihatan beberapa segmen barangan seperti alat muzik yang dipersembahkan secara ilusi optikal.

Jika kita sering menceritakan berkenaan muzium ilusi optikal yang kini menjadi trend persembahan, sebenarnya Dr Mahathir sudah lama mewujudkan konsep berkenaan di galeri itu! Hebat bukan?


PELBAGAI seni karya dunia boleh dilihat pengunjung.

Mohd Najib berkata, seni bina dan reka bentuk dalaman galeri yang unik itu idea Dr Mahathir sendiri. Malah pelan di dalamnya juga berubah tidak mengikut rekaan asal pereka dalaman ketika ia dibina.

Katanya, ketika kerja pembinaan dilakukan, pihak galeri berhasrat mewujudkan bahagian khas pameran untuk Dr Siti Hasmah.

Namun ia ditolak Dr Siti Hasmah dan memaklumkan barangan diterima tidak perlu diasingkan kerana konsep pemberiannya adalah untuk kerajaan dan mereka hanya wakil rakyat Malaysia untuk menerimanya secara rasmi.


POTRET dihadiahkan kepada Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah yang bertatah batu permata.

Meneliti kisah ikon negara sepanjang melalui enam galeri terdiri seperti barangan kulit, alat muzik, barangan tembaga dan persenjataan, sememangnya cukup memberikan inspirasi untuk dikongsikan di dalam penulisan ini.

Secara ringkasnya, Galeria Perdana bukan saja menyimpan pelbagai barangan atau cenderahati Perdana Menteri kita, malah ia antara lokasi terbaik untuk melihat hasil seni dan warisan dari seluruh dunia yang dihadiahkan kepada kita, rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 1:48 PM