DEK tinjau menjadi destinasi acara terjunan BASE.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Keunggulan negara dalam bidang seni bina bukan sesuatu yang baru dan ia juga menjadi produk pelancongan yang mampu menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara.

Apabila bercerita berkenaan kejayaan Malaysia mewujudkan bangunan ikonik, Menara Kuala Lumpur adalah antara mercu tanda yang menjadi bingkisan sejarah negara yang dibanggakan.

Mengimbas kembali sejarah kewujudannya, Menara Kuala Lumpur terletak di Bukit Nanas, Kuala Lumpur siap dibina pada 1996. Ia adalah menara tertinggi di Asia dan ketiga di dunia ketika itu dan kini gelaran berkenaan sudah dilepaskan apabila pelbagai mercu tanda dunia mula dibangunkan.

Bagaimanapun, kita masih boleh berbangga kerana ketika ini Menara Kuala Lumpur yang mempunyai ketinggian hingga antena mencecah 421 meter (m) adalah menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia.

Dalam melengkapkan keunikan itu, pelbagai aktiviti diadakan pihak pengurusannya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd bagi memberi pengalaman kepada pengunjung kala mengunjungi bangunan ikonik berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Rozlan Mohamed berkata, di dalam menara itu sendiri terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung antaranya melihat pemandangan sekitar Kuala Lumpur dari dek tinjau pada kedudukan 276m dari aras laut.

Beliau berkata, bukan sekadar dapat melihat panorama indah bandar raya dari dek itu saja, malah pengunjung juga boleh mencuba pengalaman berada di tempat tinggi malah melihat pemandangan jelas di celah kaki menerusi lantai di Sky Box yang kini semakin menjadi tarikan.


SKY BOX menguji rasa gayat dan menjanjikan keseronokan.

“Terdapat dua Sky Box yang mempunyai ketinggian 300m dan dibina di luar dek peninjau. Setiap satunya menyajikan pemandangan yang berbeza dan ia bagi memberi kepuasan kepada orang ramai untuk menikmati serta merakam keberanian berada di dalam kotak cermin itu berlatarkan panorama bangunan pencakar langit lain di bandar ini.

“Pada sebelah malam pula, menara ini turut mempunyai tarikan lampu yang mewarnai keseluruhan bangunan hingga ke antena dan ia sudah tentu dapat menonjolkan lagi keindahan seni binanya,” katanya.

Ketika berada di aras pertama, persembahan kebudayaan Malaysia ditampilkan dan ia harus dipuji kerana aktiviti seperti itu dapat menonjolkan kesenian Malaysia.

Di luar menara itu juga terdapat beberapa tarikan lain antaranya zoo mini yang sering menarik perhatian pengunjung cilik bersama ibu bapa atau guru-guru. Buat pencinta marin pula, jangan lepaskan peluang meninjau Blue Coral Aquarium yang menempatkan pelbagai hidupan air unik.

Seterusnya, bagi mereka yang ingin menikmati pelancongan eko di dalam bandar, sudah tentu Taman Hutan Eko Kuala Lumpur terletak berhampiran menara itu antara sebahagian daripada tarikan.

Memandangkan Menara Kuala Lumpur mempunyai dek luar yang boleh diakses pengunjung, aktiviti tahunan ekstrem anjuran KL Tower International Jump Malaysia bakal memasuki siri ke-18 pada 28 September ini.


ACARA terjunan yang dinantikan setiap tahun.

“Tahun ini, seramai 150 penerjun antarabangsa dari 20 negara bakal turut serta antaranya Australia, Austria, Belgium, Brazil, Kanada, Mexico, Jepun, Kuwait, Perancis, Russia, Norway dan Amerika Syarikat,” katanya.

Bagi membolehkan orang ramai menyaksikan pertunjukan itu lebih dekat dari tebing Sky Deck, Menara Kuala Lumpur menawarkan pakej khas ‘Sitting On The Edge’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 1:20 PM