ADAT dan budaya masyarakat Punjabi dipamerkan
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kepelbagaian kaum antara elemen yang membuatkan Malaysia terkenal dengan keunikan tersendiri hingga lahirnya masyarakat harmoni meskipun terdapat perbezaan dan pertembungan dari segi kepercayaan, adat dan budaya. Ia antara produk terbaik negara untuk ditonjolkan kepada masyarakat asing.

Antara yang sering mencuri perhatian ialah perkahwinan campur yang berlaku antara dua individu dari dua bangsa dan agama berbeza di negara ini.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan mengunjungi Muzium Adat Istiadat dan Perkahwinan di Langkawi, Kedah yang menonjolkan adat perkahwinan dari pelbagai bangsa di Malaysia.

Asalnya kunjungan itu bertujuan melawat Kompleks Kraf Langkawi dan kedudukan muzium itu pula berdekatan kompleks berkenaan.

Penulis ditemani Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Kompleks Kraf Langkawi Nik Azreen Nik Alui.


PENGUNJUNG boleh mendapatkan maklumat ringkasan muzium sebaik saja masuk ke dalamnya.

Nik Azreen berkata, antara yang dipamerkan ialah perkahwinan masyarakat Melayu, Cina, India, Peranakan, Ulu, Bidayuh, Iban dan Punjabi. Paling menarik sudah tentunya pelbagai peralatan yang digunakan dalam acara perkahwinan masing-masing.

Menurut Nik Azreen, jumlah pengunjung yang datang ke lokasi berkenaan tidak dapat dinyatakan secara khusus kerana kebanyakannya adalah pengunjung yang melawat kompleks kraf itu.

“Secara purata sejumlah 6,000 pengunjung tempatan dan luar negara melawat ke kompleks kraf ini. Mereka yang datang ke sini bukan saja untuk melihat keunikan seni kraf negara malah turut berminat mengetahui kepelbagaian budaya dan adat perkahwinan masyarakat utama di Malaysia.

“Meskipun ruang pameran muzium ini tidak begitu besar namun ia cukup untuk menonjolkan elemen utama dalam perkahwinan masyarakat negara ini. Penceritaan secara khusus pula dipaparkan pada papan maklumat,” katanya.


ELEMEN keperluan dalam perkahwinan masyarakat India.

Ketika berada di dalam muzium itu, penulis dapat melihat sepasang patung yang menggayakan pakaian tradisional dan lengkap dengan perhiasan menarik seolah-olah mereka sedang bersanding.

Nik Azreen berkata, pakaian dan barangan yang diketengahkan di dalam ruang pameran berkaca itu adalah asli mengikut kaum masing-masing. Ia bagi membolehkan pengunjung dapat melihat sendiri adat dan budaya sebenar dalam perkahwinan masyarakat tempatan.


BONEKA lengkap pakaian tradisional perkahwinan masyarakat Baba dan Nyonya.

“Idea bagi mewujudkan muzium ini perlu dipuji kerana pelawat tidak kira dari dalam atau luar negara dapat melihat kepelbagaian majlis perkahwinan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak di bawah satu bumbung.

“Selain itu, muzium ini juga menjadi platform terbaik kepada golongan pelajar sekolah atau universiti untuk mengetahui kepelbagaian sejarah budaya dan adat menerusi perkahwinan di negara ini. Dalam masa sama ia lebih berkonsepkan pembelajaran secara santai,” katanya.


BUDAYA perkahwinan dari Sarawak turut diketengahkan.

Tidak sekadar melihat adat perkahwinan saja, kerana di lokasi sama sebenarnya terdapat sebuah lagi muzium dikenali sebagai Muzium Warisan yang mempamerkan pelbagai artifak juga berkait rapat dengan masyarakat negara ini.

Antara yang dipamerkan adalah pelbagai jenis keris, alat permainan tradisional dan peralatan pertanian tradisional.


MUZIUM Warisan mengetengahkan pelbagai seni ciptaan masyarakat tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 1:17 PM