PANORAMA menarik di kawasan sungai.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Apabila membincangkan berkenaan manfaat sungai, ia ibarat sebuah penceritaan yang terlalu banyak untuk dikupas dan antara subjek utama dibincangkan adalah mengenai fungsinya sebagai nadi pembangunan ekonomi masyarakat setempat.

Bukan sekadar hasil alam, tetapi sungai juga memberi sumbangan penting dalam sektor pelancongan eko.

Pada hari ini, aktiviti membabitkan sukan ekstrem di hutan lipur yang mempunyai sungai bersih menjadi tumpuan penggiat aktiviti berkenaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini memainkan peranan penting bagi memastikan sungai di Malaysia dalam keadaan baik.

Malah, jabatan itu turut merangka pelbagai program termasuk ekspedisi melawat kawasan sumber air yang berupaya menjadi destinasi pelancongan eko.

Peserta pula terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO), media dan kakitangannya sendiri.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS Malaysia Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, Malaysia sememangnya mempunyai banyak sungai yang menjadi sumber air dan sentiasa dipantau supaya tidak dicemari.

Beliau berkata, perkara ini penting bagi memastikan aktiviti berkaitan sungai seperti pembangunan pelancongan eko tempatan tidak terjejas dek aktiviti perindustrian yang dijalankan berhampiran dengannya.


AKTIVITI berkayaAk arus deras antara aktiviti tarikan.

“Sememangnya pelancongan eko di kawasan sungai di Malaysia kini antara yang popular dalam kalangan masyarakat setempat dan asing.

“Pada masa sama, kami sentiasa melaksanakan pelbagai langkah termasuk memastikan ia dalam keadaan baik.

“Perkara paling utama ialah mendidik masyarakat setempat untuk lebih peka menguruskan sampah supaya tidak mencemarkan sungai. Begitu juga dengan pihak yang menguruskan kutipan sampah tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Nor Hisham berkata, pihak yang ingin membangunkan pelancongan eko berdekatan dengan sungai perlu mendapat kelulusan daripada pelbagai pihak termasuk JPS supaya aktiviti pembangunannya tidak merosakkan ekosistem sungai dan alam sekitar.

“Kami sangat mengalu-alukan pihak yang berminat untuk membangunkan projek berkaitan pelancongan eko. Ini kerana ia salah satu aktiviti beriadah yang boleh meningkatkan kesedaran masyarakat setempat dan pengunjung untuk menghargai sumber air kita.

“Malah, saya juga percaya sungai di Malaysia terutama di kawasan hulu adalah antara yang terbaik di rantau ini dan sentiasa mendapat perhatian pengunjung asing untuk menikmati keindahannya,” katanya.

Katanya, aktiviti pelancongan eko di kawasan sungai juga mampu menjana ekonomi masyarakat setempat kerana pengunjung akan berbelanja di di situ.


ANTARA aktiviti mencabar di sungai.

Lokasi sungai berkualiti air baik dan berpotensi menjadi pelancongan eko

1) Perlis: Sungai Pelarit, Sungai Perlis

2) Kedah: Hutan Lipur Sungai Sedim, Kulim

3) Pulau Pinang: Sungai Pinang Balik Pulau DBD Pulau Pinang

4) Perak:

• Taman Rekreasi Air Panas, Sungai Klah

• Sungai Kampar, Gopeng

• Sungai Sempenih, Batu Kurau

• Sungai Chepor, Ulu Chepor

• Sungai Kampar, Kampung Jahang

• Sungai Anak Ayer Cina, Lubuk Timah

5) Selangor: Sungai Chilling, Kuala Kubu Baru

6) Kuala Lumpur: Sungai Kelang (Hulu Empangan Klang Gate)

7) Negeri Sembilan: Sungai Kenaboi, Jelebu

8) Melaka: Sungai Melaka

9) Johor: Sungai Johor, Kota Tinggi

11) Kelantan: Sungai Nenggiri, Gua Musang (Jeram/Rapids)

12) Terengganu: Sungai Berang, Kg Belukar Bukit

13) Pahang: Sungai Dong, Kampung Peruas, Raub

14) Sabah: Sungai Kiulu, Tuaran

15) Sarawak: Kampung Annah Rais, Sungai Sarawak Kiri, Padawan, Kuching.

16) Labuan: Sungai Kinabenua

17) Putrajaya: Sungai Chuau & Sungai Bisa (Tasik Putrajaya)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 8:15 AM