PEMANDANGAN senja di sungai yang menarik untuk dirakam.
Khairul Najib Asarulah Khan
rencana@hmetro.com.my

Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam bot untuk menyusuri sungai di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan hati mula gusar memikirkan pelbagai cerita berkenaan sang buaya yang dikatakan hidup di sungai itu sejak dulu lagi.

Namun kehadiran kelip-kelip dan udang galah menjadikan ia destinasi popular buat pencinta alam semula jadi.

Tidak hairanlah kawasan itu, sering dikunjungi terutama pelancong dari luar negara untuk menikmati dan melihat khazanah alam secara realiti.

Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Sungai Timun Aziz Salim, setiap kali pengunjung dari luar negara yang datang pastinya mereka teruja melihat habitat terbabit yang jarang ditemui di negara mereka.

“Kebanyakan pengunjung yang meminati suasana itu adalah dari Korea, China, Singapura dan Taiwan dengan majoritinya datang secara berkumpulan.

“Mereka menyewa bot yang dikendalikan nelayan untuk menyusuri sungai dan melihat habitat buaya di samping keindahan saat matahari terbenam.

“Malah, mereka turut berpeluang menyaksikan nelayan dan pemancing menangkap udang galah yang saiznya boleh dikatakan lebih besar daripada tapak tangan,” katanya.

Aziz mengakui pengunjung juga pasti tidak melepaskan peluang menikmati keindahan kelip-kelip di sepanjang sungai terbabit.

“Lebih menarik, unggas ini tidak hilang walaupun kedengaran deruman enjin bot atau menghampirinya. Ini antara detik yang dinantikan pengunjung disebabkan situasi sebegitu sukar ditemui di tempat lain,” katanya.


NELAYAN yang mencari rezeki di sekitar sungai.

Malah, pihaknya turut menyediakan pakej tertentu dan setiap satu bot dikenakan bayaran RM250 yang boleh memuatkan hingga enam penumpang.

“Mereka dibawa menyusuri sungai ini selama tiga jam pergi dan balik. Bagi kaki pancing pula, disediakan bot untuk empat orang bersama seorang jurupandu. Jika pemancing mahu melakukan aktiviti lebih bebas, mereka boleh menyewa bot dan memandu sendiri dengan kadar sewa RM150 untuk 12 jam,” katanya.

Dalam usaha menjaga habitat itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) memperuntukkan RM2.4 juta untuk menjalankan kajian supaya kelip-kelip di situ tidak pupus.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, kajian itu meliputi kawasan Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan; Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu dan Kampung Dew, Taiping, Perak.

“Kajian itu bagi mengenal pasti populasi kelip-kelip, serangga yang hidup bersama, mutu air, tahap pencemaran, kesan perubahan guna tanah terhadap kelip-kelip dan sebagainya.

“Hasil kajian diserahkan kepada pengurusan tertinggi TNB sebelum dihantar kepada kerajaan negeri untuk tindakan bersama menjaga kehidupan ini.

“Apa yang penting kita mahu masyarakat setempat dapat meningkatkan sosio-ekonomi mereka dengan adanya produk pelancongan ini di samping mengekalkan serta menambah baik ‘kehidupan’ serangga berkenaan,” katanya.


BUAYA juga boleh dilihat di kawasan sekitar pada sebelah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 8:00 AM