Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Malaysia sememangnya mempunyai landskap kemajuan yang boleh dikatakan inklusif untuk golongan korporat melakukan pelbagai aktiviti perniagaan mereka.

Saban tahun, angka kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) diumumkan kerajaan sentiasa meningkat meskipun kadangkala kita terpaksa berdepan cabaran ekonomi global atau domestik semasa.

Dalam siri Santai kali ini memfokuskan kepada Malaysia menjadi destinasi ahli korporat untuk menganjurkan acara perniagaan.

Setiap bulan, jika diperhatikan di bahu jalan pasti kelihatan papan tanda atau iklan berkenaan pelbagai acara sama ada persidangan atau karnival perniagaan dianjurkan pihak penganjur antarabangsa.

Kemampuan Malaysia sebagai destinasi bagi acara bertaraf antarabangsa sukar dinafikan kerana di negara ini terutama di kawasan bandar, terdapat banyak kemudahan seperti pusat konvensyen dan hotel bertaraf dunia diwujudkan.


PELBAGAI aktiviti sukan lasak di berhampiran lokasi persidangan memudahkan pengunjung beriadah .

Sebagai pihak yang bertanggungjawab menarik kehadiran penganjur acara perniagaan antarabangsa, Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) bernaung di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa memainkan peranannya bagi memastikan agenda itu dapat dilaksanakan serta memberi kesan kepada industri pelancongan negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zulkefli Sharif berkata, memandangkan Malaysia mempunyai kemudahan untuk aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), ia sekali gus menjadi lokasi yang sesuai untuk delegasi asing bagi mengadakan agenda berkenaan.

Beliau berkata, sebagai badan bertanggungjawab membawa delegasi asing ke Malaysia, MyCEB melaksanakan aktiviti membida acara antarabangsa yang bernilai dan memberi kesan kepada limpahan ekonomi domestik.

“Setiap tahun, MyCEB menjalankan secara purata 40 bidaan acara antarabangsa yang membabitkan kehadiran 90,000 delegasi asing. Bagaimanapun, proses memuktamadkan keputusan untuk mengadakan acara itu mengambil masa kira-kira dua atau tiga tahun.

“Dalam proses bidaan itu, kami akan menonjolkan kemampuan Malaysia dari segi kemudahan sebelum, semasa dan selepas acara itu berlangsung. Perkara ini menjadikan Malaysia unik kerana kita mampu memberikan perkhidmatan dari awal hingga akhir kepada delegasi asing yang hadir,” katanya.


ACARA sukan lasak dari negara asing turut menjadikan Malaysia sebagai destinasi kejohanan.

Laporan terdahulu menyebut, MyCEB meletakkan sasaran RM600 juta untuk nilai acara perniagaan antarabangsa yang berjaya diadakan di Malaysia pada tahun ini hasil pelaksanaan 80 acara dalam pelbagai segmen.

Setakat ini, MyCEB sudah berjaya membawa masuk lebih 121 acara membabitkan kehadiran 75,000 delegasi antarabangsa dengan hasil sumbangan sebanyak RM1.1 bilion kepada ekonomi negara.

Zulkefli berkata, pihaknya optimis Malaysia mampu dan terus menjadi pilihan penganjur acara perniagaan antarabangsa kerana selain menyediakan komitmen insentif kepada pelabur iaitu penganjur, negara juga mempunyai landskap pelancongan menarik untuk dikunjungi delegasi asing.

Katanya, meskipun kebanyakan pusat konvensyen antarabangsa terletak di kawasan pusat bandar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu, jarak ke lokasi pelancongannya tidak mengambil tempoh lama.


PANORAMA di kawasan pantai menanti delegasi asing untuk mengunjunginya.

“Disebabkan perkara itu, dalam bidaan acara perniagaan antarabangsa, kami memberikan mereka nilai tambah dari segi aktiviti sebelum atau selepas acara bermula bagi membolehkan delegasi berlibur dengan melawat Malaysia ketika mengadakan persidangan atau mesyuarat.

“Kami bertuah kerana terdapat pelbagai produk pelancongan unik di Malaysia seperti hutan hujan tropika yang menyediakan aktiviti penerokaan alam, beraneka jenis makanan dan budaya daripada berbilang kaum serta pusat beli-belah yang dekat untuk mereka kunjungi,” katanya.

Menerusi rumusan perangkaan Malaysia dalam usaha menarik kehadiran pelancong dari segmen MICE dari 2010 hingga 2017, MyCEB berjaya menarik sejumlah 958 acara perniagaan membabitkan RM3.7 bilion perbelanjaan pengunjung dan RM6.9 bilion kesan ekonomi.

Katanya, delegasi asing turut menunjukkan minat untuk terus mengadakan acara perniagaan di negara ini kerana keunikan budaya dari masyarakat majmuk dan kemampuan negara menyediakan lokasi penginapan ketika bersantai.

Katanya, konsep inap desa terutama di kawasan kampung antara yang menjadi perhatian delegasi asing kerana mereka seolah-olah menjadi masyarakat tempatan di kelilingi landskap segar.


KONSEP penginapan inap desa menawarkan pemandangan yang menarik untuk pengunjung negara luar.

“Kami juga tidak lupa untuk memperkenalkan produk pelancongan di kawasan bandar terutama membabitkan lokasi membeli-belah memandangkan negara sudah terkenal sebagai lubuk terbaik bagi aktiviti itu di peringkat dunia.

“Bagi menggalakkan lagi mereka mengunjungi pusat beli-belah, biasanya kami akan bekerjasama dengan pemilik premis untuk memberikan baucar atau diskaun tambahan. Ini mampu memberi kesan ekonomi yang jelas kepada negara,” katanya.

Tidak ketinggalan, katanya, faktor kemampuan rakyat tempatan mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris dan Mandarin juga menjadikan delegasi asing lebih selesa.


PUSAT beli-belah bertaraf antarabangsa memberi kemudahan untuk pelancong dalam sektor MICE berbelanja.

Ketika ditanya berkenaan kemampuan negara menyediakan lokasi persidangan antarabangsa membabitkan kapasiti delegasi berskala besar, jelasnya, setakat ini perkara itu tidak menjadi masalah kerana terdapat pusat konvensyen yang mampu menyediakan kapasiti pengunjung hingga 20,000 orang pada satu-satu masa.

“Buat masa ini, jumlah delegasi paling ramai yang hadir ke Malaysia bagi aktiviti MICE sekitar 15,000 orang dan angka itu masih di bawah kapasiti maksimum untuk memuatkan mereka bagi melaksanakan pelbagai aktiviti.

“Pada masa sama, kami juga mempunyai banyak hotel bertaraf antarabangsa yang mencukupi di sekitar kawasan persidangan untuk menampung kehadiran delegasi asing memandangkan tempat penginapan turut memainkan peranan penting,” katanya.


MEMPUNYAI infrastruktur persidangan mencukupi memudahkan Malaysia menjadi destinasi pelancongan korporat.

Pusat konvensyen yang menjadi tumpuan delegasi asing di Malaysia

1. Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur.

2. Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur

3. Pusat Konvensyen Borneo (BCKK), Sarawak.

4. Setia SPICE Arena, Pulau Pinang.

5. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Lokasi tumpuan delegasi asing ke Malaysia

1. Pengalaman inap desa di Kampung Tok Senik, Langkawi.

2. Perkampungan Budaya Sarawak, Kuching.

3. Central Market, Kuala Lumpur.

4. Penang Peranakan Mansion, George Town.

5. Fort Cornwallis, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 7:05 AM