REKA bentuk unik Istana Budaya.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Meskipun kurang sinonim sebagai lokasi persidangan antarabangsa, Istana Budaya (IB) yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur dilihat sebagai salah satu lokasi yang mempunyai prestij tersendiri khususnya platform penganjuran persembahan hiburan.

Ia mempunyai reka bentuk unik hasil gabungan seni bina Melayu yang sarat dengan nilai estetika. Pandangan dari atas pula memperlihatkan rekaan menyamai wau bulan Kelantan dan bentuk bangunannya pula persis sirih junjung.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, terdapat dua panggung di IB iaitu Panggung Sari dan Lambang Sari yang mampu memuatkan kira-kira 1,400 dan 280 tempat duduk.

Katanya, kedua-dua panggung itu dilengkapi sistem pentas canggih dan peralatan teknikal iaitu sistem penataan cahaya serta bunyi yang terkini.

“IB juga mempunyai ruang seperti Bilik Seri Nilam yang sesuai digunakan untuk program sidang media, Layang Mas dikenali studio balet untuk latihan tarian dan lakonan. Sementara Seri Kasturi pula menawarkan 23 bilik persalinan lengkap dengan bilik mandi, almari pakaian dan meja hias bercermin.

“Bilik produksi dan beberapa ruang lobi seperti Selasar Pawana, Selasar Pualam, Selasar Bayu dan Selasar Awan juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk pameran, pratonton persembahan serta latihan,” katanya.

Katanya, penganjur tempatan dan antarabangsa berminat untuk mengadakan persembahan di IB terutama di Panggung Sari kerana memenuhi ciri yang diperlukan bagi penganjuran program seni persembahan teater, muzik mahupun tari berskala besar. Antaranya sistem pentas yang canggih, jumlah tempat duduk bersesuaian, lokasi strategik dan harga sewaan berpatutan.

Tambahnya, perkara lain yang menarik minat lebih banyak syarikat penganjur memilih Istana Budaya adalah disebabkan kecanggihan teknologi yang menyamai taraf panggung lain di seluruh dunia. Ia turut membabitkan mekanisme kawalan pentas berkomputer, sistem penataan cahaya, sistem audio visual dan kesan khas.

“Purata jumlah persembahan yang diadakan di IB setiap tahun adalah 41 persembahan merangkumi pementasan di Panggung Sari, Lambang Sari. Penganjuran program di Laman Santai itu membabitkan 25 peratus persembahan antarabangsa dan selebihnya persembahan tempatan.

“Berdasarkan kajian yang pernah dijalankan IB, penonton asing yang datang ke sini pada 2015 seramai 2,010 orang dan pada 2016 adalah 1,185 orang. Ini kerana terdapat 16 pementasan antarabangsa pada 2015 dan lapan persembahan lagi pada 2016,” katanya.


MENJADI pilihan pementasan daripada penganjur asing.

Dari segi statistik, purata 197,457 penonton yang datang ke IB setiap tahun. Angka ini meningkat namun pada 2017, terdapat penurunan jumlah penonton disebabkan kerja-kerja menaik taraf pentas dan pengubahsuaian Panggung Sari yang dijalankan sepanjang tahun.

Jelasnya, antara faktor utama yang berjaya menarik lebih kehadiran penonton adalah jenis program dipentaskan. Ini kerana setiap genre iaitu teater, tari dan muzik mempunyai pengikut masing-masing serta harga tiket berpatutan.

“Selain populariti artis yang terbabit dalam setiap persembahan, perancangan promosi gah dan meluas antaranya menerusi media sosial, media cetak serta elektronik.

“Kebiasaannya, peningkatan atau penurunan jumlah persembahan di IB setiap tahun bergantung kepada kepelbagaian genre seni persembahan yang ingin dipentaskan.

“Selain itu, perkara yang turut memberi kesan adalah cadangan dan penetapan tarikh persembahan dipohon syarikat produksi kadangkala bertindan,” katanya.

Tambah Juhari, IB mempunyai ‘aristari’ yang bersedia membuat persembahan pembukaan, pelancaran dan penutup persidangan dengan paparan keunikan seni serta budaya Malaysia

“Kita mempunyai Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang boleh dipersembahkan mengikut kesesuaian tema persidangan sebagai pengisian menyemarakkan persidangan yang dianjurkan,” katanya.


TEKNOLOGI pementasan yang maju ditawarkan Istana Budaya kepada pihak produksi tempatan dan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 6:45 AM