MOHAMADDIN (kanan) melawat pameran pada Majlis Perasmian Matta Fair 2018.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) giat memantau aktiviti ejen pelancongan tidak berdaftar bagi memastikan tidak berlaku isu penipuan kepada orang awam.

Ketika ini, Akta Industri Pelancongan 1992 pindaan 2017 yang masih dibahaskan di Parlimen turut menyentuh pelesenan ejen pelancongan tidak berdaftar.

Menerusi akta membabitkan perkara itu, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan setakat ini tiga entiti tidak berdaftar sedang disiasat.

Menterinya, Mohamaddin Ketapi berkata, di bawah kementeriannya terdapat bahagian penguat kuasa yang memantau aktiviti ejen pelancongan di Malaysia yang tidak berdaftar dan menyiasat aduan pengguna sekiranya mereka ditipu.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada orang ramai mengenai isu ejen pelancongan tidak berdaftar. Bagaimanapun, situasinya masih dapat dikawal.

“Pendirian MOTAC masih sama mengenai ejen pelancongan tidak berdaftar adalah diharamkan dan kita tidak akan membenarkan mereka beroperasi kerana ia boleh mengakibatkan risiko kepada orang ramai di dalam urusan jual beli.

“Bagaimanapun, kita menasihatkan mereka untuk beroperasi secara sah dengan memiliki lesen ejen pelancongan,” katanya selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) ke-46, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

MATTA Fair yang diadakan bermula 8 hingga 9 September lalu membabitkan penyertaan lebih 250 syarikat berkaitan pelancongan dan 1,336 pempamer.

Dalam ucapan perasmian itu, Mohamaddin turut menyebut mengenai Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kedudukan 10 destinasi pelancongan utama dunia menjelang 2019, berbanding kedudukan ke-12 yang direkodkan pada masa ini.

Mengulas lanjut katanya, kementerian akan merancang hala tuju strategik dan pendekatan baharu bagi menyediakan persekitaran lebih mesra kepada peserta industri.

“Kita juga menyusun beberapa strategi bagi memastikan kehadiran pelancong dan nilai transaksi perbelanjaan golongan itu terus meningkat antaranya mempromosikan produk pelancongan Malaysia ke luar dan mengadakan kerjasama dengan syarikat penerbangan.

“Kerajaan melihat industri pelancongan mempunyai potensi besar dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada pemain industri,” katanya.

Pada tahun ini, MOTAC menyasarkan kehadiran 26.4 juta pelancong antarabangsa ke Malaysia yang dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan perbelanjaan sebanyak RM89 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 6:35 AM