TOP TREE WALK laluan silara terpanjang di dunia.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Istilah akrofobia bermaksud ketakutan pada ketinggian. Seseorang individu itu akan berasa bimbang untuk terbabit dalam aktiviti yang berkaitan dengan tempat tinggi. Mereka juga akan rasa gayat dan tidak berani melihat ke bawah apabila berada di tempat tinggi.

Perkara ini bukan sesuatu yang pelik kerana pasti ada antara rakan atau ahli keluarga kita sendiri fobia pada ketinggian.

Bagaimanapun, aktiviti di tempat tinggi juga mempunyai peminatnya tersendiri kerana ia dilihat mampu menguji kecekalan mental dan fizikal.

Bahkan terdapat peminat ‘memburu’ aktiviti ekstrem yang sememangnya memerlukan mereka berada di tempat tinggi demi mendapatkan kepuasan atau keseronokan.

Perkara ini tidak mustahil bersandarkan kepada pelbagai platform aktiviti berkaitan ketinggian yang banyak ditawarkan dalam negara sama ada di taman tema, pusat rekreasi awam atau di dalam hutan.

Dalam siri Santai kali ini, penerokaan aktiviti di tempat tinggi yang mampu menguji ketahanan mental dan fizikal menjadi pilihan. Malah anda mungkin boleh lakukan untuk mengisi waktu santai.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan mengunjungi lokasi aktiviti berkayak arus deras yang begitu popular di Semenanjung iaitu Sungai Sedim, Kulim, Kedah.

Mengunjungi Sungai Sedim, nama Tree Top Walk pastinya bukan asing bagi mereka yang gemarkan aktiviti di tempat tinggi. Ini kerana ia membabitkan aktiviti berjalan di atas jambatan sambil menyaksikan melihat pemandangan hutan pada paras tinggi.

Dikenali sebagai laluan kanopi Sungai Sedim, jambatan yang siap dibina pada 2005 dan mula beroperasi sejak Mac 2006 itu terletak di Hutan Simpan Gunung Inas iaitu Hutan Lipur Sungai Sedim berhampiran Bukit Hijau.

Ketika mengunjunginya, penulis ditemani Pembantu Awam Jabatan Hutan Daerah Kulim Mohd Hasrol Izuan Hamid yang sudi memberikan penerangan berkenaan lokasi pelancongan eko berkenaan.


MAKLUMAT teknologi pembinaan jambatan jelaskan keutuhan binaan.

Mohd Hasrol Izuan berkata, jambatan berkenaan dibina sepanjang 950 meter (m) dan pada aras paling tinggi dari permukaan tanah hingga 26.1m. Ia juga dikatakan laluan titian terpanjang di dunia untuk aktiviti berjalan di atas silara atau rimbunan daun pada bahagian atas pokok.

Beliau berkata, berjalan di atas silara hutan bererti anda perlu berada pada ketinggian bermula dari dahan pertama pokok dan melihat pemandangan di bahagian bawah yang mempunyai pelbagai tarikan flora dan fauna.

“Pengunjung bukan saja dapat melihat keindahan Hutan Simpan Gunung Inas malah mereka juga boleh mendapat maklumat berkenaan pembinaan jambatan yang menggunakan pelbagai teknologi besi. Uniknya, ketika jambatan ini dibina, tiada sebatang pokok pun ditebang atau dipotong.

“Sememangnya pembinaan jambatan ini tidak membenarkan pemaju untuk memotong pokok, sesuai dengan konsep pelancongan eko yang ingin kami ketengahkan kepada pengunjung bagi menghargai khazanah hutan simpan,” katanya.


PAPAN tanda aras ketinggian memberi petunjuk kepada pengunjung.

Sepanjang berjalan menyusuri jambatan itu, Mohd Hasrol Izuan juga memberi penerangan berkenaan spesies pokok hutan yang boleh dilihat secara dekat. Antaranya tualang, meranti sarang punai terap, keruing, meranti tembaga, rengas, damar hitam, cengal, penarahan, mahang, kedondong, sentul, kempas, kundang rumania, beberapa jenis spesies buluh, rotan dan akar memanjat.

Di beberapa pokok juga kelihatan terdapat papan penerangan mengenai spesies pokok bagi memberi pengetahuan am kepada pengunjung.


MAKLUMAT spesies tumbuhan sesuai dengan konsep pelancongan eko.

Bukan sekadar menawarkan pemandangan pelbagai pokok hutan yang tumbuh meliar, malah pemandangan di bawah jambatan juga tidak kurang menariknya terutama ketika ‘merentasi’ Sungai Sedim yang begitu terkenal dengan aktiviti sukan air.

Sememangnya berada di atas jambatan itu seakan-akan berada di atas pokok kerana pemandangan luas dari atas menjanjikan pengalaman agak menyeronokkan.


LALUAN Sungai Sedim jelas dilihat dari atas jambatan

Penulis difahamkan, Tree Top Walk antara destinasi pelancongan eko di Kedah yang sering menjadi perhatian pelancong dengan purata lebih 10,000 pengunjung direkodkan setiap tahun.

Memandangkan pelancongan eko menjadi konsep tarikannya, di bangunan pendaftaran dan bayaran masuk ke Tree Top Walk juga mempunyai ruangan khas yang menceritakan kaedah pembinaan jambatan itu dan teknologi besi digunakan.


PEMANDANGAN luas Hutan Lipur Sungai Sedim

“Bagi mereka yang takutkan ketinggian, jangan khuatir kerana mereka boleh membaca dan memahami sendiri cara atau kaedah digunakan untuk membina jambatan tahan karat ini.

“Laluan perjalanan dari tempat pendaftaran ke penghujungnya mempunyai ketinggian yang berbeza dan mereka melalui aras rendah terlebih dulu bagi menyesuaikan keadaan sekiranya rasa bimbang berada di tempat tinggi,” katanya.


JAMBATAN berada di paras rendah pada permulaan perjalanan.

Tree Top Walk dibuka pada setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan tidak beroperasi sekiranya berlaku cuaca buruk atas faktor keselamatan. Setakat ini, lokasi berkenaan tidak pernah menganjurkan aktiviti berjalan pada sebelah malam.

Jadi, sekiranya anda mempunyai fobia di tempat tinggi tetapi ingin melakukan aktiviti di kawasan berkenaan, bolehlah mengunjungi Tree Top Walk.

Paling utama, tidak perlu mengembara jauh untuk menikmati laluan silara di luar negara kerana di Malaysia, kita mempunyai Tree Top Walk yang terpanjang di dunia!


KEADAAN laluan jambatan yang boleh dilihat di beberapa simpang laluan.

Laluan silara hutan terkenal di Malaysia

1. Poring Canopy Walk, Sabah.

2. Penang Nasional Park Canopy Walk, Pulau Pinang.

3. Maliau Basin Canopy Walk, Sabah

4. Danum Valley Canopy Walk, Sabah.

5. Mulu National Park Canopy Walk, Sarawak.

6. Taman Negara Canopy Walk, Pahang.

7. KL Forest Eco Park, Kuala Lumpur.

8. FRIM Canopy Walk, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 1:16 PM