BAS membawa peserta dilepaskan.
BOT dinaiki peserta memasuki Gua Le Khao Kob di Trang.
KEADAAN peserta ketika menyusuri gua.
PESERTA di tengah-tengah gua.
PESERTA keluar dari Gua Le Khao Kob.
AKTIVITI berkayak di Satun.
HIDANGAN udang besar di Hatyai.
REPLIKA ketam menjadi tumpuan peserta untuk bergambar.
PENULIS bergambar di batu tanda pelbagai lokasi di Thailand.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Degupan jantung menjadi kencang, menahan nafas semungkin yang boleh ketika sampan didayung memasuki lorong gua yang sempit.

Aturannya hanya tiga, badan perlu dibaringkan, tangan dan kaki pula perlu dilunjurkan bagi mengelak badan tercedera.

Sepanjang perjalanan, permukaan muka perlu memandang ke dinding gua yang berkedudukan hanya beberapa inci saja.

Suara amaran kerap kali kedengaran, bahkan mengingatkan penulis supaya sentiasa statik hingga zon bahaya tamat.

Memasuki laluan gua dengan bersampan mungkin dianggap biasa, namun penerokaan ke dalam gua hanya memuatkan sampan adalah pengalaman luar biasa yang tak akan dilupa.

Bukan mahu menakut-nakutkan, namun dalam keadaan diri berhimpit-himpit di dalam sampan kecil yang dinaiki tujuh individu dalam satu masa adalah pengalaman mengujakan.

Bagi penulis produk pelancongan negara gajah putih ini sangat menarik, biarpun statusnya hanya pelancongan kampung.

Pakej unik itu dilakukan penduduk tempatan pada waktu petang bagi menambah pendapatan sampingan keluarga. Biarpun pada pagi hari ramai membanting tulang sebagai penoreh, namun waktu petang hari aktiviti mendayung sampan dan mengurut kaki menambah ekonomi setempat.

Itu antara pengalaman unik diperoleh penulis ke Gua Le Khao Kob di Trang bersama kumpulan Kelab Media Johor (KMJ) sempena Program Jelajah ZeroMile Ke Thailand bermula 30 Julai hingga 4 Ogos lalu.

Biarpun menempuh perjalanan sejauh 1,518 kilometer (km) dengan menaiki bas ekspres agak memenatkan, perjalanan dalam Program Jelajah ZeroMile Ke Thailand anjuran Kelab Media Johor menukar persepsi itu.

Program yang dilepaskan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) A Rahim Nin mempunyai misi bermakna bahkan permulaannya di batu tanda asal paling selatan jalan raya yang juga penghubung Semenanjung Malaysia di kedudukan Johor Bahru 0km.

Selepas menempuhi 10 jam perjalanan, penulis bersama rombongan 25 ahli KMJ dan kakitangan Tourism Johor mula merentasi sempadan Kompleks Imigresen Thailand (Sadao) sebelum disambut pemandu pelancong yang dikenali Pak Rodi yang memberikan butiran perincian lawatan lima hari kami.

Tidak menolak akan hiburan malam yang mewarnai pusat hiburan di negara Siam, namun jujurnya dia mengakui semuanya terletak pada niat dan pilihan masing-masing ke negara terbabit.

Menjengah tentatif program disediakan penganjur dalam lawatan pakej disediakan A&A World Vacation Sdn Bhd, ia sedikit mengubah persepsi penulis akan bumi Thailand.

Mendengar taklimat ringkas Pak Rodi, industri pelancongan negara terbabit bukan saja sinonim dengan aktiviti malam hari bahkan sarat aktiviti berorientasikan ketahanan fizikal.

Penerokaan aktiviti lasak bermula pada hari ketiga penjelajahan dan program lawatan ke Gua Khao Kob menguji kekuatan penulis menaiki sampan untuk memasuki gua sempit.

Setiap sampan akan dinaiki lima orang dan pelawat dikehendaki berbaring untuk memasuki ruang gua yang sempit bahkan mereka bersaiz 36 perlu lebih berwaspada.

Lebih menarik, ia menjadi tapak warisan dan mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Bagi penulis aktiviti bot laju merentasi empat pulau antara cabaran paling mengujakan merangkumi, Tanjung Putri, Ao Pranang, Pulau Ayam dan Pulau Tab di Pulau Krabi.

Menariknya program hari ketiga kerana selain disajikan aktiviti Island Hoping selama tujuh jam, penulis dan rakan KMJ dijamu menu istimewa di Pulau Poda.

Aktiviti hari kelima diteruskan ke Satun atau Wang Sai Thong dan kami disajikan lagi dengan aktiviti kayak. Tidak seperti kayak di Malaysia, bentuk kayak di pusat berkenaan direka berdasarkan struktur sungai membabitkan laluan sekitar 8km.

Penerokaan kami bermula selepas disajikan menu ikan dan ayam kampung singgang yang sungguh enak lagi menyelerakan.

Agak mengujakan apatah lagi disajikan dengan suasana hutan yang masih dara, selain kicauan burung dan unggas menggamit kehadiran penulis tanpa rasa kecewa.

Bagi penulis, penat dan lelah bekerja hilang seketika tatkala diri dibasahi air sungai mengalir deras tanpa pencemaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 12:36 PM