WADING Pool dan taman permainan jadi pilihan kanak-kanak.
Rodly Fadly
rencana@hmetro.com.my


Bagi anda yang tinggal di sekitar bandar raya Ipoh, Perak, Bulatan Aman Jaya di Meru Raya kini antara lokasi pilihan untuk beriadah dan bersantai terutama pada waktu malam. Malah, sejak dibuka pada November tahun lalu, ia turut menjadi lokasi pilihan pelancong.

Bulatan seluas 7.3 hektar itu yang turut dikenali sebagai Bulatan 18, Bulatan Meru Jaya atau Bulatan Casuarina, tidak jauh dari Terminal Bas Aman Jaya, mempunyai daya tarikan tersendiri.

Sinaran lampu yang menerangi kawasan berkenaan, ditambah tirai air dengan pancaran pelbagai warna pada gerbang utamanya, menjadikan suasana di situ lebih ‘hidup’ ketika malam berbanding siang.

Sambil menikmati keindahan pancaran air berwarna-warni itu, pengunjung tidak melepaskan peluang merakamkan gambar atau berswafoto berlatar- belakangkan tirai air berkenaan.

Selain itu, taman rekreasi berkenaan turut menjadi pilihan kerana ia menyediakan pelbagai kemudahan yang boleh dimanfaatkan seisi keluarga.

Bagi yang datang sekadar untuk menikmati suasana malam dan menghirup udara segar, anda boleh bersiar-siar sambil menghayati keindahan landskap di taman berkenaan.

Di samping itu pengunjung juga boleh berehat sambil menyaksikan ‘persembahan’ pancuran air berirama yang melahirkan pelbagai warna. Tempat duduk turut disediakan di sekitar taman itu.

Anda yang ingin mengeluarkan peluh atau menyihatkan badan pula, laluan untuk berjoging dan kemudahan untuk melakukan pelbagai aktiviti senaman ringan turut disediakan.

Namun, lebih menjadi tumpuan adalah ‘wading pool’ sedalam 0.6 meter dan kawasan taman permainan disediakan khas untuk kanak-kanak. Sambil membiarkan anak-anak bersuka ria mandi-manda dan bermain, ibu bapa boleh ‘melepak’ di kawasan berhampiran.

Kemudahan tempat letak kereta turut disediakan dengan 386 petak untuk kereta, 40 untuk motosikal dan dua petak parkir untuk bas.

Pengunjung, Intan Liyana Abdul Aziz, 27, berkata, sejak dibuka, taman rekreasi itu kerap menjadi pilihannya untuk membawa anak beriadah terutama pada hujung minggu.

“Kebetulan taman ini berdekatan dengan sebuah pasar raya, jadi terlanjur datang membeli-belah, kami singgah di sini. Anak-anak saya suka bermain air dan berendam di dalam kolam yang disediakan.

“Sambil anak mandi, saya dan suami bersantai di kerusi yang disediakan di kawasan kolam. Kedudukan taman ini di pinggir bandar Ipoh menyebabkan ia terhindar daripada suasana hiruk-pikuk kenderaan,” katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Pulau Pinang, Muhammad Rizal Ismail, 33, sangat teruja menikmati suasana malam di taman itu.

“Alang-alang mempunyai tugasan di sini dan menginap di hotel berdekatan, saya ambil peluang mengunjungi taman ini selepas membuat carian tempat menarik di Ipoh melalui laman maya.

“Bagi mereka yang tinggal di sekitar bandar raya ini, ia sesuai untuk jadi tempat rekreasi keluarga. Namun, bagi pengunjung luar seperti saya, tarikan utama ialah tirai air berwarna-warni yang menghiasi gerbang,” ujar Rizal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 12:39 PM