SAISARA menunjukkan menu utama pilihan pengunjung.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Nama hidangannya saja boleh membuatkan pelanggan berfikir dua atau tiga kali sebelum membuat pesanan kerana bimbang harganya di luar kemampuan.

Masakan tidak, sotong dan udangnya saja ‘membumbung’ menutup sajian dipesan sesuai dengan namanya nasi goreng udang@sotong banjir.

Bagaimanapun, telahan penulis silap apabila sajian itu hanya berharga RM8 sepinggan! Ada 12 udang segar bersaiz ‘jari kelengkeng orang dewasa’ disusun menarik pada permukaan nasi yang pastinya memukau mata memandang.

Aroma dan warna udang goreng kemerah-merahan itu membuatkan penulis tidak sabar menikmatinya sebaik pesanan tiba di meja.

Ternyata pencarian kedai makan Selera D’Shahzan ini sejak beberapa bulan lalu di laman sosial Facebook berbaloi.

Selain itu, beberapa sajian lain seperti nasi goreng kambing ngosek, nasi goreng komando, nasi bungkus udang petai, nasi goreng ‘meatball’ dan nasi goreng kepak ayam, bihun goreng kambing dan nasi goreng sotong cendawan turut ‘menggoda’ selera pengunjung juga ditawarkan RM8 sepinggan.

Bersesuaian dengan nama kedai, Selera D’Shahzan, ternyata pengusahanya berjaya menarik orang ramai berkunjung menjamu selera dengan pelbagai pilihan masakan panas, Barat, aneka jenis aiskrim dan minuman istimewa.

Walaupun harga bahan mentah semakin meningkat seperti makanan laut, daging kambing dan kepingan ayam, ia bukan ‘bebanan’ bagi pemiliknya, Saisara Farina Ahmad Afandi, 30, sebaliknya lebih kepada konsep kepuasaan pelanggan.

“Saya mahu setiap pelanggan yang menjamu selera di sini pulang dengan gembira kerana harga dibayar bersesuaian makanan dinikmati,” katanya di kedai makannya berhampiran tangki air di kawasan perumahan Taman Shahzan Kampung Tiram, Kuantan, Pahang.

Menurutnya, nasi goreng kambing ngosek kini semakin popular dalam kalangan pelanggan dan dia memerlukan 15 hingga 20 kilogram (kg) daging kambing hanya untuk sajian berkenaan selain 300 udang, 10kg sotong, 10kg daging kambing bahagian bahu dan 100 ketul paha ayam seminggu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Nasi goreng kambing ngosek antara pilihan utama kerana mudah dan cepat disediakan. Ngosek bermakna ‘berulang’ dan sekali makan pasti hendak lagi.

“Daging kambing direbus dalam tempoh 30 minit dan dicencang halus sebelum digoreng bersama bahan tumisan lain. Apabila naik bau baru dicampurkan dengan nasi dan enak dimakan ketika panas,” katanya.

Selera D’Shahzan juga menawarkan masakan Barat yang sentiasa digemari ramai seperti ‘chicken chop’, ‘chicken grill,’ ‘meatball’ dan sajian istimewa Barat bersama nasi goreng pada harga RM5 hingga RM17 setiap hidangan.

“Bagi yang ingin merasai semua masakan Barat pada satu masa, kami tawarkan set ‘western tersandar’ yang mengandungi ‘meatball,’ nugget, ‘lamb chop,’ kentang goreng, ‘chicken chop,’ coleslow dan potongan buah oren bersama dua jenis jus minuman pada RM35.

“Bagi yang datang secara berkumpulan, mereka tentunya memilih set ini untuk dikongsi bersama kerana ia lebih menjimatkan,” katanya yang mengusahakan kedai makan itu bersama suami, Mohd Sallehudin Hamid, 37.

Selera D’Shahzan yang dibuka mulai 5 petang hingga 1 pagi setiap hari (kecuali Ahad) turut menawarkan pelbagai jenis masakan panas berasaskan nasi, mi, bihun, kuetiau, sayuran, tomyam dan telur pada harga RM4.50 hingga RM7 sepinggan.

Selain minuman panas dan sejuk, kedai makan yang dibuka sejak lapan tahun lalu itu juga menawan selera pelanggan dengan pelbagai minuman istimewa seperti milo cincau, Nescafe float, jagung float dan bandung cincau float, keladi cincau pada harga RM2.50 dan RM3 segelas.

Bagi peminat aiskrim pula, boleh mencuba aiskrim kelapa, aiskrim ‘banana chocolate chip’, aiskrim ‘candy crush’ dan aiskrim strawberi sebagai pembasah tekak dijual pada RM5 hingga RM6.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 12:39 PM