PELBAGAI ativiti interaktif yang disediakan di Petrosains yang cukup mengujakan.

Menelusuri pengembaraan dunia sains di Petrosains, The Discovery Centre (Petrosains) sesuatu yang mengujakan.

Dengan bahan pameran dan program yanbg berinteraktif memenuhi dua tingkat bangunan di Menara Berkembar Petronas itu, Petrosains adalah destinasi menyeronokkan terutama buat kanak-kanak yang sedang membesar.

Petrosains juga adalah galeri penerokaan sains interaktif bagi semua lapisan umur. Di sini, pengunjung dapat berinteraksi dengan sains menggunakan pancaindera, penglihatan, pendengaran, deria sentuh dan hidu.

Interaksi ini meliputi semua aspek sains dari yang mikroskopik hingga kosmik, dari dinosaur prasejarah mengerunkan hingga dunia petroleum yang menarik perhatian.

Berkunjung ke sini, antara yang menarik menanti anda ialah The Dark Ride atau Perjalanan Sekilas Masa.

Menaiki gondola yang memuatkan empat orang dalam satu masa bermula dari laluan masuk ke Petrosains ini, pengunjung melalui satu perjalanan mengagumkan dengan pengembaraan di dalam hutan purba, lautan indah dan melayari pembangunan Malaysia ke arah sebuah negara maju.

Selesai mengembara, anda kemudian diperlihatkan segala hal berkenaan tenaga, angkasa lepas yang disertakan dengan beberapa aktiviti mengujakan.

Ketahui lebih lanjut berkenaan sains dan teknologi angkasa lepas, terokai kehidupan angkasawan dan programkan sendiri di ruangan Space yang sememangnya antara ‘hot spot’ di sini.

Melalui Sekilas Masa atau Time Tunnel, anda akan berjalan ke Diorama Geomasa atau zaman dinosaur. Bagaimanapun, buat masa ini, seksyen ini ditutup sementara untuk kerja naik taraf.

Memasuki ruangan Pelantar Minyak, pengunjung pastinya teruja. Mana tidaknya, terasa bagai berada di pelantar minyak di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Di sini, pengunjung dapat melihat dan mempelajari bagaimana proses kerja cari gali minyak dan gas di pelantar minyak.

Menariknya, setiap apa yang dipamerkan terutama peralatan cari gali pernah digunakan di tengah lautan.

Video cara pekerja di pelantar minyak bekerja juga mengujakan kerana selama ini pastinya tidak pernah terfikir kaedah mereka bekerja di tengah lautan yang membiru itu.

Teater tiga dimensi (3D) juga antara yang perlu dicuba saat berkunjung ke Petrosains ini. Anda pastinya tidak senang duduk ketika menonton filem 3D yang mendebarkan di dalam teater mini disediakan.

Di ruangan aktiviti, anda pastinya teruja untuk mencuba pelbagai aktiviti sains yang menguji minda dan kreativiti. Di ruangan aktiviti ini juga antara yang menjadi tumpuan kanak-kanak sehingga tempoh lawatan boleh mencecah tiga jam.

Menariknya, selain pameran dan aktiviti, pertunjukan dan eksperimen sains biasanya diadakan mengikut jadual yang disediakan selain membuatkan pengunjung teruja serta terpegun.

Pendek kata, di Petrosains ini, anda bukan saja datang untuk bersiar-siar atau melihat pameran yang disediakan, tetapi ia penuh dengan ilmu sains menyeronokkan dan sesuai untuk semua peringkat usia.

Jadi, bagi anda yang sedang mencari lokasi menarik untuk di kunjungi bersama anak hujung minggu ini, kunjungan ke Petrosains, The Discovery Centre ini pastinya berbaloi. - Suliati Asri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 12:10 PM