PEMANDANGAN indah deretan batang pokok kayu balak di dalam tasik berhampiran pondok penempatan Orang Asli.
TASIK BANDING tawar kehijauan dan keindahan alam semula jadi.

Bersantai di Rumah Bot di Tasik Banding, Gerik, Perak bagaikan berada di atas kapal cruise yang belayar di lautan, tetapi di sini lebih istimewa kerana pengunjung boleh menghayati pelbagai keunikan alam ciptaan Tuhan.

Pelancongan persis di atas kapal cruise mewah di Tasik Banding kira-kira 45 kilometer dari pekan Gerik ini, pelancong boleh memilih sama ada ke selatan di Tasik Temengor atau ke utara di Hutan Royal Belum yang kedua-duanya menjanjikan keseronokan tersendiri.

Terdapat 20 rumah bot yang boleh disewa khas secara pakej sama ada untuk sehari atau tiga hari dua malam bagi memenuhi percutian santai terutama ke Taman Royal Belum yang diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh Kerajaan Perak pada 17 April 2007 itu.

Kerajaan negeri turut menggamit pelancong ke sini dengan membina pelbagai kemudahan asas termasuk Hentian Royal Belum Amanjaya yang lebih sistematik dan selamat menggantikan Jeti Awam Tasik Banding sebelum ini.

Rumah bot dua tingkat lima bilik yang boleh memuatkan 40 orang dibina dengan rekaan yang berlainan bagi memenuhi cita rasa pelancong terutama untuk keselesaan bermalam atau hanya melakukan aktiviti yang dirancang.

Bagi kaki pancing, selain berpeluang memancing pelbagai spesies ikan seperti kelah, toman dan baung, keindahan panorama alam semula jadi yang disajikan juga cukup mengujakan.

Pengalaman berada di tengah tasik sambil berbeku ikan segar yang berjaya dipancing juga antara kenangan terindah yang pasti tidak akan dilupakan.

Menyusuri tasik dengan bot laju yang disediakan bersama pakej sewaan dengan jarak 45 minit dari Hentian Royal Belum Amanjaya Banding ke Royal Belum dan berswafoto dengan pokok menghijau di tebing tasik yang indah turut mencipta pengalaman baru.

Bermalam di tengah tasik atas rumah bot pada waktu malam juga pengalaman menyeronokkan lebih-lebih lagi saat menyaksikan taburan bintang dan bulan di dada langit. Hembusan angin malam yang bertiup lembut ditambah dengan suasana malam yang sejuk memberikan kedamaian yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Sesekali menyaksikan cahaya lampu kenderaan yang melalui jambatan Tasik Banding menghubungkan Perak dan Kelantan dari kejauhan nampak bagaikan meniti di atas titian kecil.

Di sini, tiada lagi hiruk-pikuk kesibukan atau kebingitan kota kecuali nyanyian pelbagai unggas rimba yang mendamaikan jiwa dan mententeramkan fikiran selepas sekian lama dibebani tugas harian di ibu kota.

Di kala mentari mula menjengukkan diri, keriuhan unggas termasuk suara kera lotong dan pelbagai spesies haiwan hutan di belantara kedengaran dari sekeliling daratan tasik ini sebagai menandakan hari beransur siang.

Pengunjung turut berpeluang melihat kecekapan penduduk Orang Asli yang menggunakan rakit buluh untuk menangkap ikan secara tradisional berhampiran tebing yang menjadi sumber rezeki keluarga mereka.

Percutian menjadi lebih lengkap sekiranya mengadakan aktiviti berkumpulan di daratan di Royal Belum seperti jungle trekking, sukaneka, menjejaki bunga Rafflesia, bermesra dengan penduduk Orang Asli suku Jahai dan ke beberapa lokasi air terjun seperti Sungai Kooi, Sungai Ruok dan Sira Papan.

Oleh itu, pelancong disyorkan membuat tempahan menyewa rumah bot ini sebulan sebelum tarikh dikehendaki kerana ada ketika rumah bot di sini habis ditempah pelancong terutama pada musim cuti sekolah atau perayaan.

Seorang pengusaha pelancongan di Tasik Banding yang juga pemilik rumah bot, Syafaizal Alaauldin 40, berkata, sejak setahun lalu kedatangan pelancong termasuk dari luar negara ke Tasik Banding semakin bertambah.

“Rumah bot saya dan rakan pengusaha lain sentiasa memberi perkhidmatan yang selesa dan memuaskan supaya percutian pelancong bukan saja bermanfaat, tetapi juga menjadi kenangan manis sepanjang hidup.

“Pelancong boleh memilih sama ada mahukan bot yang luas dan selesa dengan lima bilik yang boleh memuatkan 40 orang atau yang datang seramai 30 orang dengan empat bilik yang menjimatkan,” katanya.

Dengan nama Syarikat Hijau 21, Syafaizal yang mengusahakan rumah bot dua tingkat sejak lima tahun lalu membawa pelancong menyusuri sama ada ke Tasik Temengor atau Hutan Royal Belum mengikut permintaan pelancong.

“Pelancong boleh bersiar-siar mengelilingi Pulau Banding atau menyusuri tebing ke Tasik Temengor untuk menyaksikan pelbagai spesies burung dan unggas yang banyak berterbangan terutama pada waktu senja.

“Di atas rumah bot juga boleh bermesyuarat kerana disediakan ruang ini selain boleh digunakan untuk berkaraoke. Sementara mereka yang mahu berbeku di atas bot juga disediakan kemudahan bagi memberi percutian bersama rumah bot menjadi kenangan indah,” katanya.-D J Dolasoh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 1:32 PM