LANDSKAP yang cantik dan tersusun memberikan ketenangan di Taman Persahabatan Malaysia-China.
PINTU masuk yang dijaga dua artifak singa berusia 200 tahun yang mempesona.
POKOK cempaka putih yang di tanam ketika pecah tanah sehingga kini masih hidup subur.
SESI fotografi di taman ini menghasilkan gambar yang cukup mengujakan.
KEHALUSAN kaligrafi dan pembinaan tradisional Cina diserlahkan di sekitar taman dan tembok.
SUASANA mendamaikan Taman Persahabatan yang menggamit hati.
TEMBOK yang melindungi keunikan dan kedamaian taman persahabatan Malaysia-China.
SENI bina tradisional Cina terserlah di setiap sudut di taman ini.
SENI bina gaya Lingnan menggabungkan pelbagai elemen yang menarik.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Dari kejauhan, tembok batu bata yang diukir dengan kaligrafi menarik bagai memanggil untuk melihat apa yang ada di dalamnya.

Ketenangan dapat dirasai sebaik melangkah masuk ke pintu gerbang yang 'dijaga' dua artifak singa berusia 200 tahun.

Deruan air mengalir dalam kolam yang menghadap pintu masuk bagai mengalunkan irama selamat datang kepada setiap pengunjung yang melangkah masuk.

Angin bertiup lembut pula bagaikan membawa pengunjung ke China yang terkenal dengan seni bina dan landskapnya yang amat mengasyikkan.

Itulah yang pasti dirasai pengunjung saat berkunjung ke Taman Persahabatan Malaysia-China yang terletak di tapak kekal FLORIA Putrajaya iaitu Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.

Direka bercirikan elemen ‘Lingnan-styled garden’ projek pertama dilaksanakan dalam bentuk Taman Persahabatan ini dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Malaysia China (PPMC) yang juga pencetus idea pembinaan taman ini.

Kerajaan China melalui Dongguan People’s Association For Friendship With Foreign Countries bersetuju membangunkan Taman Persahabatan China-Malaysia yang membabitkan kos RM1.5 juta.

Dibangunkan di atas tanah seluas 0.24 hektar di tapak kekal FLORIA ini adalah mercu tanda hubungan diplomatik yang semakin kukuh antara Malaysia dan China.

Taman ini bukan hanya menyokong hubungan baik dan meraikan ulang tahun ke-40 jalinan perhubungan dua hala antara Malaysia dan China tetapi juga dibangunkan sebagai lokasi tarikan pelancong yang dapat menambah ‘karakter antarabangsa’ di Putrajaya.

Oleh itu, taman ini adalah salah satu pameran taman yang akan menceriakan lagi suasana tapak Floria Putrajaya ini.

Terpegun dengan seni bina dan kaligrafi tradisional Cina yang diterapkan di setiap sudut adalah salah satu daya tarikan yang menggamit pengunjung.

Pembinaan taman ini amat unik, dengan ciri Lingnan kita dapat melihat pelbagai keindahan, binaannya juga amat menarik selain turut dilengkapi dengan kolam di tengah-tengah taman.

Meneroka di setiap sudut taman ini, dua pokok jenis Michelia alba atau cempaka putih yang ditanam pada majlis pecah tanah yang juga simbolik hubungan diplomatik kedua-dua negara mencuri perhatian.

Penerapan enam elemen utama iaitu gunung, air, batu, bangunan, kaligrafi dan tumbuhan adalah kombinasi yang cukup mendamaikan.

Suasana pergunungan dapat dirasai di keseluruhan taman. Memasuki elemen air, kolam yang terletak di tengah antara pavilion dan pintu masuk serta kolam lainnya yang terdapat di sekitar kawasan bagai memberikan kedamaian yang berterusan.

Elemen batu dan bangunan pula diperlihatkan dari tembok yang mengelilingi kawasan taman dan pavilion serta koridor berbumbung yang terdapat di sini.

Motif tradisional Cina yang diterapkan pada pembinaan bangunan ini menunjukkan kekayaan dan keaslian seni bina negara itu.

Kaligrafi yang diperlihatkan di sekitar kawasan juga sangat mengujakan. Ia bagaikan menghidupkan setiap sudut dengan sentuhan halus kaligrafi Cina.

Tumbuh-tumbuhan adalah elemen yang sangat berperanan memberikan kedamaian di taman ini. Pokok Maple, pokok bonsai, buluh dan beberapa jenis pokok serta bunga yang ditanam di taman bagai terapi diri saat bersiar-siar di taman ini.

Gabungan pelbagai elemen utama dengan batuan berwarna, koridor penggulungan, pokok yang subur, bunga yang berkembang, halaman yang indah dan pavilion di taman ini sebagai bukti persahabatan yang berpanjangan antara Malaysia dan China.

Penat berjalan, duduk di koridor dan menghadap kolam yang dipenuhi ikan bagai menghilangkan segala kelelahan.

Dibuka kepada kunjungan orang awam tanpa dikenakan bayaran buat masa ini, pengunjung berpeluang menghayati sendiri keunikan seni bina yang diterapkan di dalam taman persahabatan ini.

Pendek kata, pengunjung boleh merasa seperti berada nun jauh di China yang sememangnya kaya dengan kehalusan seni binanya.

Anda juga boleh bersantai atau beriadah bersama keluarga di kawasan sekitar taman ini.

Lokasi taman persahabatan yang berhadapan dengan tasik Putrajaya dan ruang legar yang luas, pengunjung boleh berkelah atau melakukan pelbagai aktiviti menarik di situ.

Taman ini juga dibuka kepada pengunjung terutama pengantin dan jurugambar yang ingin merakamkan potret perkahwinan di taman ini.

Landskap yang menarik persis berada di negara China juga bagaikan satu bonus buat si pengantin.

Bagaimanapun, untuk membuat penggambaran di taman persahabatan ini, bayaran tertentu dikenakan dan anda juga perlu berhubung dengan Putrajaya Floria Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:03 AM