MEMORY Lane yang dibuka setiap Ahad menjadi syurga bagi pengumpul barangan antik.
AIS kepal turut dijual di dataran Kong Heng bersebelahan dengan dinding ‘love lock’.
DATARAN Kong Heng menjadi lokasi bagi pelbagai kafe dan tempat menarik selain lubuk untuk mereka yang gemar merakam gambar.
CONCUBINE Lane atau Lorong Panglima menggamit suasana klasik bandar lama dengan menjual barangan serta makanan unik.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Mata sentiasa terpegun dan teruja menghayati keindahan bangunan klasik yang dilihat masih terpelihara setiap kali berkunjung ke bandar raya Ipoh.

Menjanjikan pelbagai destinasi menarik serta aneka hidangan enak, percutian ke Ipoh kali ini sedikit berbeza kerana menggamit kenangan lalu.

Bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 8 pagi, perjalanan menaiki kereta mengambil masa sekitar tiga jam.

Sebaik tiba di Ipoh, perkara pertama semestinya mengisi perut sebelum daftar masuk di hotel dan kami memilih menginap di bandar raya Ipoh kerana perjalanan ke lokasi menarik hanya berdekatan selain dapat menjamu mata dengan suasana malam di sana.

Kakitangan hotel mencadangkan kami ke Concubine Lane dan ia dikatakan tempat tumpuan pengunjung. Memandangkan belum pernah menjejakkan kaki ke sana, ia lokasi pertama kami teroka di bandar raya Ipoh.

Concubine Lane

Concubine Lane atau Lorong Panglima adalah lorong kecil yang terletak antara Jalan Bijeh Timah dan Jalan Bandar Timah.

Menurut cerita rakyat di situ, nama Concubine Lane diberikan kerana pada zaman dulu ia dipercayai menjadi lokasi bagi orang kaya menyimpan isteri kedua.

Lorong berkenaan dipenuhi deretan kedai lama yang diubah menjadi kafe atau butik selain banyak dengan gerai ‘pop-up’ menjual pelbagai barangan.

Terdapat banyak produk dan makanan menarik boleh dijumpai di situ antaranya gula kapas yang dibuat segar dengan bentuk menarik seperti bunga.

Dataran Kong Heng

Berhadapan dengan Concubine Lane, persinggahan seterusnya adalah dataran Kong Heng yang terletak antara Jalan Sultan Yusuff dan Jalan Bandar Timah.

Lokasi ini turut menjadi tarikan utama terutama pada musim cuti kerana terdapat restoran, tempat penginapan dan Muzium Yasmin Ahmad selain jualan pasar lambak.

Namun, menurut pandangan penulis sendiri ia adalah ‘syurga’ untuk mereka yang gemar bergambar kerana setiap sudut dan penjuru memberikan latar menarik untuk berswafoto.

Pengunjung juga boleh memasang ‘love lock’ di satu bingkai besi yang digantung pada dinding dan mengabadikan cinta di bandar lama penuh nostalgia itu.

Berhadapan dinding itu adalah gerai kecil menjual pelbagai snek termasuk ais kepal. Penyejuk mulut yang sukar didapati di mana-mana tidak kami lepaskan dengan perasa istimewa iaitu gula melaka.

Makan ais kepal juga ada caranya iaitu tidak boleh makan dengan sudu dan tidak boleh digigit. Hanya perlu hisap untuk menyedut semua perisa yang ada seperti minum air sejuk.

Memory Lane

Memory Lane atau Pasar Loken di Jalan Horley menjadi persinggahan wajib kerana ia menjadi bualan ramai.

Menjadi lubuk barangan antik, anda pasti teruja apabila terjumpa barangan lama yang mungkin sukar didapati pada hari ini seperti kaser dan mesin taip jenis lama.

Menariknya, pengunjung boleh tawar-menawar dan kunjungan ke setiap gerai pasti tidak membosankan kerana barangan lama yang dijual mungkin pernah anda miliki satu ketika dulu.

Rata-rata pengunjung dan pembeli juga dikatakan datang dari seluruh Malaysia kerana mencari atau mendapatkan barangan antik yang diingini.

Memory Lane dibuka setiap Ahad bermula 7 pagi hingga 3 petang. Namun, kunjungan kami baru-baru ini mendapati ramai yang sudah mula mengemas sejak jam 12 tengah hari, jadi tidak salah pergi pada awal pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:01 AM