KARAVAN atau motorhome sangat popular di luar negara untuk melancong secara santai bersama keluarga.
KATIL untuk seisi keluarga bersantai.
TANDAS sesuai untuk seisi keluarga bersantai.
TERDAPAT dapur sesuai untuk seisi keluarga bersantai.
SUASANA santai ketika mengembara.
Syazwan Msar
rencana@hmetro.com.my

Percutian ala pengembaraan. Itu antara pakej menarik apabila orang ramai menggunakan kenderaan karavan atau motorhome sebagai medium untuk melancong dalam negara, sekali gus menjanjikan pengalaman menarik kepada orang ramai yang mahu menikmati keindahan atau suasana menarik sepanjang pengembaraan.

Karavan atau motorhome sangat popular di luar negara untuk melancong secara santai bersama keluarga seperti New Zealand, Australia dan Eropah. Ia sudah mula menjengah pasaran tempatan sejak awal tahun ini.

Ironinya, melancong menggunakan kenderaan ini memberikan penjimatan yang optimum kepada orang ramai apabila boleh diibaratkan sebagai rumah yang dibawa ke mana sahaja tanpa sebarang masalah.

Dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dapur, katil dan ruang rehat, kenderaan ini sangat bersesuaian kepada individu yang mahu mengembara tanpa memikirkan kos penginapan selain memudahkan pergerakan untuk ke lokasi yang dituju.

Menurut Pengarah Urusan WTA Adventures Sdn Bhd Nadia Abbas, industri pelancongan berasas karavan atau motorhome mampu memberi impak besar berikutan keadaan negara ini yang mempunyai pelbagai lokasi menarik.

Beliau berkata, setakat ini terdapat dua lokasi untuk meletakkan karavan iaitu di Pontian dan Desaru Bayu, Johor Bahru, sekali gus memberi kelebihan kepada orang ramai untuk menggunakan kenderaan terbabit ketika melancong.

“Malah, tempat meletakkan karavan akan diperluaskan lagi di dua lokasi iaitu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gombak dan Kuantan berikutan laluan terbabit popular dalam kalangan pelancong.

“Setakat ini, selepas sebulan dilancarkan, kami sudah menerima lima tempahan daripada individu dan syarikat yang berminat menggunakan kenderaan terbabit untuk melancong,” katanya, di sini.

Selain itu, beliau berkata, karavan atau motorhomes mempunyai ciri-ciri lengkap sebagai ‘kediaman mini’ iaitu terdapat tandas, dapur dan katil sesuai untuk seisi keluarga bersantai.

“Harga sebuah karavan bermula daripada RM600,000 dan ke atas bergantung kepada permintaan pelanggan yang inginkan pengubahsuaian berdasarkan minat masing-masing.

“Pada masa sama, kami juga menyediakan khidmat 24 jam bantuan kepada pemilik kenderaan terbabit jika berhadapan dengan masalah,” katanya.

Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai pengembaraan pelancongan kerana karavan atau motorhomes terbabit menyediakan segalanya dan menjadikan pengalaman melancong lebih menarik.

Pelancongan menerusi karavan atau motorhome ini pasti suatu masa nanti akan menjadi antara platform pilihan orang ramai untuk melancong dengan melawat beberapa lokasi menarik di dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 1:23 PM