GRILLED salmon tawar rasa enak ikan salmon panggang.
MEATBALL disajikan bersama kentang goreng, ‘coleslaw’ dan dicecah bersama sos ‘thousand island’ serta sos lada hitam punya keenakan tersendiri.
NASI Kambenz’s Bakar antara sajian utama pilihan pelanggan.
SHAHRULNIZAM dan Nor Diana bersama -sama sajian utama pilihan pelanggan termasuk minuman ‘giant’ ‘Hawaian cooler’ dan ‘Aqua herbs’.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Kombinasi Nasi Kambenz’s Bakar bersama air pilihan Aqua Herbs atau Hawaiian Cooler nyata memberi ‘pulangan berbaloi’ kepada peminat setia masakan Barat di kedai makan Fryerzone Western Food (Fryerzone) di kawasan taman perumahan Indera Sempurna, Jalan Kuantan-Pekan, Kuantan.

Penulis sendiri yang pertama kali mencuba menu itu ‘berani’ menunjukkan isyarat bagus kerana ternyata hirisan daging kambing ala masak kicap pedas dinikmati bersama nasi putih dan kuah sup itu menepati selera.

Biarpun warnanya ‘hitam berkilat’ tanpa sebarang hiasan, ia tidaklah begitu mempengaruhi pelanggan untuk ‘tidak’ menikmatinya keenakannya.

Pemilik Fryerzone, Shahrulnizam Johar,40, berkata dia hanya menggunakan daging bahagian bahu kambing sahaja kerana isinya lebih lembut dan tidak mengambil masa lama untuk dimasak.

“Daging dihiris nipis dan dimasak hanya apabila ditempah kerana kami mahu pelanggan menikmati sajian ketika masih panas dan sehingga ‘menjilat jari’.

“Saya hanya menggunakan bahan mentah seperti kicap pekat, cili padi, bawang putih, bawang merah, gula dan garam yang digaul dengan hirisan daging sebelum dibakar dalam tempoh 10 minit sahaja,” katanya.

Fryerzone yang dibuka bermula jam 6.45 petang hingga 11.30 setiap hari kecuali Ahad dan menampung 60 pelanggan pada satu-satu masa turut menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis anjuran sekolah, jabatan kerajaan, individu dan swasta.

Menurut Shahrulnizam, walaupun berdepan dengan saingan masakan pilihan seperti ‘chicken chop’, ‘lamb chop’,’grilled salmon’, ‘black pepper steak’, ‘beef steak, dan ‘meat ball’, sajian itu tetap mendapat sambutan apabila antara 20 hingga 30 pinggan dipesan pelanggan setiap malam.

Katanya, menu yang berharga RM10 satu set itu begitu dikenali terutama dengan pelanggan tetapnya sejak memulakan perniagannya hampir tujuh tahun lalu.

“Pelanggan amat menyukainya dan sedikit demi sedikit saya pelbagaikan menu tetapi lebih fokus kepada masakan barat dan menawarkan harga yang lebih rendah untuk memberi peluang kepada semua golongan menikmatinya,” katanya yang dibantu enam pekerja.

Fryerzone juga menawarkan hidangan ‘ringan’ seperti ‘fish-n-chip’, sup cendawan, aneka burger dan snek ala Barat, spagetti bolognese dan spagetti carbonara pada harga antara RM8 hingga RM25 setiap sajian.

“Istimewanya di sini, kami tidak menyediakan minuman bergas sebaliknya menawarkan air buah seperti tembikai, laici, lobak, epal serta pelbagai minuman panas dan sejuk dengan harga serendah RM1 hingga RM3 sahaja bagaimanapun, harga untuk air buah adalah berbeza mengikut jenis buah-buahan pilihan,” katanya.

Menurutnya, dua jenis minuman penyejuk tekak ‘giant’ ‘Aqua herbs’ dan ‘Hawaian cooler’ paling digemari kerana isi kandungannya ‘penuh gelas’ yang belum pernah ditemui di mana-mana kedai makan atau restoran.

Katanya, ‘Aqua herbs’ adalah campuran satu tin laici, asam boi, serai, aiskrim soda dan daun pudina manakala Hawaian cooler pula kombinasi satu tin kiub nanas bersaiz sederhana, aiskrim soda dan daun pudina dan masing-masing dijual pada harga RM10 segelas setiap gelas besar,” katanya yang turut dibantu isteri, Nor Diana Mohamad Daud, 40.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 1:12 PM