MENYEDIAKAN dan membakar lemang di kampung cukup mengujakan.
AKTIVITI menganyam ketupat antara aktiviti wajib di kampung yang tidak harus dilepaskan.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Kemeriahan beraya di kampung sememangnya sesuatu yang cukup mengujakan.

Menyediakan juadah secara bergotong-royong dengan ibu sibuk di dapur, ayah pula memasak lemang, si muda remaja mengacau dodol dan si kecil pula pasti sibuk bermain bunga api di laman.

Gelak dan tawa dengan cerita yang mencuit hati di kongsi bersama, sekali gus mengeratkan lagi ikatan kasih sayang sekeluarga.

Detik-detik indah ini bagaimanapun sudah tidak dapat dirasai mereka yang membesar di bandar atau sudah tidak punya sesiapa di kampung.

Bagi mengembalikan kemeriahan suasana hari raya, Program Pembangunan Pakej Raya di Homestay Kampung Rawa Hilir, Lenggeng, Negeri Sembilan dilancarkan, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia, Hishamuddin Mustafa berkata, Program Pembangunan Pakej Raya di Homestay Kampung Rawa Hilir ini adalah salah satu langkah untuk terus menawarkan kepelbagaian aktiviti yang boleh diadakan di homestay.

“Homestay atau inap desa adalah destinasi dan produk pelancongan yang berpotensi serta menjadikan budaya, seni dan warisan sebagai titik jualan unik untuk pasaran antarabangsa.

“Untuk menarik lebih ramai pelawat, pakej ini dibangunkan bagi memberikan pengalaman menyambut hari raya di homestay dengan kemeriahan tersendiri,” katanya.

Ditubuhkan pada 12 Mei 2012 dan diusahakan oleh 17 pengusaha, menerusi pakej raya ini, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti antaranya mengacau dodol, menganyam dan memasak ketupat, membakar lemang dan pastinya merasai suasana hari raya di desa yang cukup mengujakan.

Selain itu, aktiviti menarik yang juga boleh dilakukan di homestay ini adalah menunggang kuda, demo masakan tradisional, bersiar-siar sekitar kampung, melihat penternakan ayam, kambing dan lembu serta banyak lagi.

Uniknya, Homestay Kampung Rawa Hilir ini juga satu-satunya homestay yang mempunyai tarikan menunggang kuda dan menyediakan kursus berkaitan kuda.

Tambah Hishamuddin, selain Homestay Kampung Rawa Hilir, Homestay Kampung Lonek dan Homestay Panhitan, Negeri Sembilan dan Homestay Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak juga turut menawarkan pakej yang sama.

Namun katanya, ia masih tidak diketahui secara meluas dan dengan perasmian Program Pembangunan Pakej Raya di Homestay Kampung Rawa Hilir ini, ia secara tidak langsung akan menjadi model untuk membangunkan pakej-pakej perayaan di homestay seluruh Malaysia.

“Sebelum ini, empat homestay ini antara yang mendapat tempahan untuk merasai suasana hari raya di homestay, tetapi tidak meluas.

“Jadi, dengan pakej raya ini, pengusaha homestay di seluruh negara boleh menawarkan pakej ini kepada pelancong dalam dan luar negara, sekali gus tetap memperoleh pendapatan terutama ketika sambutan hari raya,” katanya .

Program Pembangunan Pakej Raya di Homestay Kampung Rawa HIlir ini dilancarkan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi ) Tourism Malaysia, Datuk Sri Abdul Khani Daud serta Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 1:04 PM