CHICKENBALL all London Eye menjadi kegemaran pelanggan berbangsa India yang mengamalkan vegetarian.
Fatin Farhana Japre
rencana@hmetro.com.my


Kali pertama mencuba hidangan bebola daging dari kart makanan Meatball Landen di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, penulis tidak menyangka rasanya sungguh enak dan menyelerakan.

Bebola daging yang mampat daripada daging lembu langsung tidak terasa tepung dan hanyir apabila dikunyah.

Apatah lagi campuran herba, bawang putih, serbuk lada hitam terasa sampai ke anak tekak setiap kali menelan Meatball Landen ini.

Pemiliknya, Muhammad Syafiq Farhan Ahmad Jamidi, 23, berkata idea ini tercetus ketika dia berkunjung ke London awal tahun lalu dan melihat deretan penjaja yang menjual bebola daging menggunakan kart makanan.

“Ketika melihat deretan penjaja yang menjual bebola daging, saya terus mendapat inspirasi berniaga bebola daging di Kuala Lumpur bagi memberi kelainan kepada pelanggan.

“Sebaik saja pulang ke Malaysia, saya cuba menghasilkan bebola daging sendiri menggunakan 100 peratus daging lembu segar dan campuran herba berkualiti tinggi tanpa bahan tambahan seperti tepung.

“Cubaan saya berjaya apabila hari pertama berniaga bebola daging Meatball Landen habis terjual sebanyak 100 biji meskipun pada mulanya agak risau penerimaan daripada orang ramai,” katanya.

Menariknya, bukan hanya bebola daging saja dihasilkan sendiri malah sos cicahan dan kentang lecek juga memberi kelazatan berganda kepada penggemar bebola daging.

“Keunikan Meatball Landen ini bukan saja bebola dagingnya tetapi sos cicahan dan kentang lecek yang diolah daripada sos BBQ supaya rasanya sebati dalam setiap suapan.

“Sos lada hitam sudah biasa digunakan dalam penyediaan bebola daging jadi saya mahu beri sedikit kelainan pada hidangan saya. Antara bahan lain yang digunakan dalam penyediaan resipi bebola daging dan sosnya ialah susu lemak tinggi, telur, serbuk roti, kentang dan tujuh jenis rempah herba rahsia bagi membangkitkan rasa ‘berlemak’,” katanya.

Kata Muhammad Syafiq Farhan, campuran daging kisar, sos barbeku dan kentang lecek dibuat setiap hari bagi mengekalkan kesegaran dan memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan hidangan segar.

Berpeluang singgah ke kart makanan Meatball Landen baru-baru ini, penulis mencuba empat menu istimewa yang sering menjadi tumpuan dan pilihan ramai.

Meatball Bigben dan Chickenball London Eye berharga RM10 setiap satu antara menu paling laris kerana setiap set dihidangkan lapan biji bebola daging yang dilimpahi sos barbeku istimewa, mayonis dan kentang lecek.

Menu lain, Jumbo Hotdog Stamford Bridge (RM5) dan The Mix of Tower Bridge (RM15) yang menggabungkan empat menu Meatball Landen dalam satu hidangan iaitu 10 biji bebola daging dan ayam, jumbo hotdog, kentang lecek, sos serta mayonis.

Menurutnya, kebanyakan orang kita gemar menikmati bebola daging dan menjadikannya sebagai ‘kudap-kudap’ pada waktu petang bersama keluarga atau di pejabat.

“Rata-rata pelanggan saya akan membeli bebola daging pada waktu makan tengah hari untuk dinikmati bersama keluarga atau dijadikan makanan ringan di pejabat sementara menanti waktu bekerja tamat.

“Dalam satu hari 250 biji bebola daging terjual dan pada hari cuti pula boleh mencecah 400 biji,” katanya.

Kart makanan Meatball Landen beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu dari jam 11 pagi hingga 3 petang. Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman Facebook (Meatball Landen).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 2:52 PM