PEMBABITAN pengunjung dalam persembahan burung memberikan pengalaman bermakna buat mereka.
SUASANA mendamaikan ditawarkan di Taman Burung Kuala Lumpur.
PERSEMBAHAN burung kakaktua yang bijak dan comel mencuit hati pengunjung.
KOLAM Flamingo antara yang menjadi tarikan.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Menerokai Taman Burung Kuala Lumpur seluas 8.5 hektar yang dibuka sejak 1991 sambil mendengar kicauan sang burung terbang bebas di dalam habitatnya bagai membawa pengunjung jauh nun ke hutan belantara.

Deruan air terjun buatan hampir setiap sudut di sini juga bukan saja menjadi tempat untuk unggas alam ini mendapatkan air tetapi juga memberikan suasana yang cukup mendamaikan buat pengunjung.

Kedinginan pagi ditambah suasana meriah sang burung yang bebas berjalan atau berterbangan membuatkan pengunjung lupa mereka masih berada di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Itu juga yang dirasai penulis saat berkunjung ke taman burung terbang bebas terbesar di dunia yang menjadi rumah kepada lebih 3,000 burung daripada 200 spesies.

Sejujurnya, tidak pernah terlintas di fikiran, taman ini memberikan ketenangan lebih-lebih lagi lokasinya di tengah hiruk-pikuk bandar raya Kuala Lumpur.

Namun, belum sempat menghabiskan penjelajahan di taman ini, terasa tenang dan damai. Hilang rasa serabut dan tertekan dek kesesakan lalu lintas yang sangat padat pagi itu.

Bagi anda yang inginkan ketenangan alam semula jadi dikelilingi unggas alam berterbangan bebas, Taman Burung Kuala Lumpur tidak mengecewakan anda.

Mengetengahkan konsep taman burung terbang bebas, kunjungan ke sini tidak akan sia-sia dengan suasana dan tarikan yang ditawarkan.

Menurut Eksekutif Pemasaran dan Promosinya, Taufik Mohd Sharif, taman ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung melihat pelbagai spesies burung berwarna-warni tetapi boleh mengenalinya dengan lebih dekat.

“Tanpa sangkar yang menjadi sempadan, pengunjung bukan saja boleh mengamati unggas ini dengan lebih dekat bahkan boleh bersiar-siar bersama mereka di dalam taman ini.

“Pengunjung juga tidak perlu memandu jauh atau meneroka hutan belantara dengan teropong untuk melihat kecantikan pelbagai spesies burung kerana di sini, anda boleh melihatnya dengan jelas,” katanya.

Terbahagi kepada empat zon iaitu satu dan dua adalah bahagian burung ini bebas terbang dan ia cukup mengujakan.

Menjelajah di dua zon terbang bebas ini, ia membawa pengunjung persis menjelajah di hutan menghijau yang dipenuhi burung cantik.

Kelibat burung sekendi merah yang unik dengan keseluruhan badannya berwarna merah dan hanya seekor yang berada di dalam taman ini cukup mengujakan.

Kicauan pelbagai spesies burung merbah iaitu burung yang bersaiz sederhana yang hidup di atas pokok, kawasan belukar dan pohon renek serta taman di kawasan bandar cukup mengasyikkan.

Kakinya yang runcing dan panjang membuatkan burung flamingo antara burung yang sering menjadi perhatian saat berkunjung ke taman burung atau zoo.

Selain flamingo, burung undan putih, undan paruh titik dan bangau kendi juga menjadi tarikan di Kolam Flamingo.

Puas bersiar-siar ditemani burung berwarna-warni daripada spesies berlainan, memasuki zon tiga iaitu Taman Enggang cukup mengujakan.

Terdapat empat spesies enggang yang menghuni taman burung antaranya enggang badak (rhinoceros hornbill), kelingking (oriental pied hornbill), papan (great hornbill) dan gatal birah (asian black hornbill).

Namun, enggang ini ditempatkan di dalam sangkar untuk menjaga spesies burung yang cukup unik ini.

Zon empat menawarkan pelbagai tarikan menarik. Antara yang boleh dikunjungi adalah World of Parrtos yang memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman memberi susu kepada pelbagai spesies nuri seperti bayan pelangi dan merah.

Memberi makan helang spesies lang merah juga tidak kurang menariknya.

Di zon ini juga menempatkan galeri Burung, Stesen Pendidikan dan Sekolah Burung (Bird School) yang menawarkan pengunjung maklumat dan pengetahuan segala hal berkaitan burung termasuk bagaimana seekor burung menetas dan banyak lagi yang memberi manfaat.

Pertunjukan burung dua kali sehari di Amphitheatre menyeronokkan. Keletah comel si burung kakaktua yang bijak membuatkan pengunjung terhibur.

Pembabitan pengunjung dalam beberapa persembahan juga membuatkan pengunjung dihargai dan memberikan pengalaman mengujakan buat mereka.

Selesai menjelajah di taman burung yang unik ini, menjamu selera di Restoran Hornbill mengembalikan tenaga yang sudah digunakan. Jus oren atau tembikai segar yang diminum mengembalikan kesegaran. Keenakan pelbagai jenis makanan tempatan dan Barat juga membuatkan perut kenyang, sekali gus membuatkan anda pulang dengan senyuman.

Taman Burung Kuala Lumpur ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Tiket masuk untuk dewasa dijual pada harga RM27 dan RM13 untuk kanak-kanak.

Bagi pemegang kad keahlian Aeon dan Rapid, anda berpeluang memperoleh potongan RM5 ketika membuat pembelian tiket.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 1:30 PM