SUT pakaian lelaki mampu disiapkan dalam masa 24 jam di Ben Thanh.

“Abang singgah abang, baju murah-murah abang, beli untuk isteri abang.”

Bertalu-talu sapaan yang diterima apabila penulis melangkah masuk ke Pasar Ben Thanh di tengah kota Ho Chi Minh, baru-baru ini.

Berada dalam pasar tarikan pelancong ini seolah-olah berada di bazar seperti Padang Besar di Malaysia berikutan kebanyakan peniaga di situ boleh berbahasa Melayu, terutama peniaga kain dan pakaian.

Seorang peniaga yang ditemui berkata, mereka belajar bahasa Melayu atas inisiatif sendiri kerana pasar itu menjadi tumpuan utama pelancong dari Malaysia.

Pelbagai barangan seperti cenderamata, kain sutera, kopi dan aksesori wanita dijual di sini.

Antara yang menjadi pilihan utama ialah kain untuk dibuat baju wanita dan sut lelaki yang boleh disiapkan dalam tempoh 24 jam.

Lazimnya jika di Malaysia, harga biasa sepasang sut lelaki sekitar RM800 ke atas tetapi di situ ditawarkan dengan harga serendah RM200.

Bagi penggemar aktiviti lasak dan mengembara, pastinya mereka tidak melepaskan peluang mendapatkan beg galas dengan harga RM25.

Melihat betapa ramainya pelancong Malaysia, menariknya peniaga di sini mengutamakan mata wang ringgit Malaysia (RM) di samping dolar Amerika dan dong Vietnam.

Tambahan pula nilai Ringgit Malaysia yang lebih baik berbanding Vietnam Dong menyebabkan kebanyakan harga di sini ditanda terus dengan mata wang Malaysia itu.

Pengunjung perlu bijak tawar-menawar dan jika mahir, mereka boleh mendapat diskaun sehingga 70 peratus daripada harga sebenar.

Pasar malam yang wujud di sekitar Ben Tanh pada setiap malam juga dinanti-nanti pelancong.

Harga ditawarkan lebih murah dan peniaga juga mampu bertutur dalam bahasa Melayu selain kebanjiran pelancong Malaysia juga menyebabkan semakin banyak restoran makanan halal dibuka di sekitar pasar Ben Thanh.

Satu jalan di sini dikenali sebagai Jalan Malaysia (Malaysian Street) kerana menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk menginap dan membeli-belah serta peniaga makanan di sini majoritinya beragama Islam. - Mohd Sharumnisham Shahbudin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 1:15 PM