BOTOL minuman lama yang dipamer di Muzium Time Tunnel.

Melihat barang lama yang dipamer, ada antara pengunjung akan terkenang kembali zaman kanak-kanak.

Apatah lagi botol minuman dan tin susu lama yang sudah tidak ada di pasaran.

Itu belum lagi melihat gambar lama yang penuh nostalgia dipamer di dinding muzium, sesiapa saja terutama mereka yang membesar sekitar 70 hingga 90-an bagai kembali ke zaman itu.

Itu yang akan dirasai saat mengunjungi Muzium Time Tunnel di Brinchang, Cameron Highlands, Pahang.

Time Tunnel adalah muzium tempatan yang membawa pengunjungnya mengimbau kenangan lama dengan memaparkan 1,000 bahan unik.

Terdapat banyak barangan lama antaranya perkakas dapur, kegunaan harian, duit lama, gambar lama dan makanan.

Ubat gigi Darlie atau dulunya dikenali sebagai Darkie dengan gambar lelaki kulit hitam memakai topi dan mata besar pasti menjadi tumpuan.

Barangan lain yang pasti membuatkan anda teruja ialah botol serta tin minuman Milo, Ovaltine serta kotak rokok yang sudah tidak ada di pasaran dipamer di sini.

Jika anda ingin melihat sendiri koleksi yang dipamerkan di muzium ini dan mengimbau kenangan zaman dulu, Muzium Time Tunnel dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 6 petang dengan tiket berharga RM5 (dewasa) dan RM3 (kanak-kanak).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 1:03 PM