MENGAMBIL gambar dengan kamera mahal memberikan kualiti gambar yang cantik.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

Melihat gambar pemandangan yang diambil jurugambar profesional menimbulkan sedikit rasa iri hati. Maklum saja, lokasi gambar itu diambil, pernah dikunjungi tapi cara foto yang diambil tidak sama.

Ia tidak sama kerana jurugambar profesional mengambil gambar menggunakan kamera dan kelengkapan yang lengkap dan mahal.

Membawa kamera seperti profesional untuk pergi bercuti terutama saat ingin merakam gambar indah juga babit kos yang tinggi. Namun, ia tidak bermakna anda yang bercuti dengan bajet kecil dan ingin membawa kamera perlu memilikinya kerana ada cara lain iaitu dengan menyewanya.

Banyak kebaikan dan keistimewaan yang bakal anda peroleh jika menyewa kamera. Nak tahu? Jom semak lima sebab kenapa anda perlu menyewa kamera ketika bercuti.

1. Prosesnya mudah

Beberapa syarikat penyewaan kamera dan lensa menghantar kamera sewaan ke rumah atau hotel penginapan anda.

Selain itu, anda juga boleh meminta cadangan daripada empunya kamera sewa berkenaan kamera dan peralatan lain yang sesuai dengan acara atau lokasi ingin dipotret.

Namun, hal yang paling penting adalah mengetahui dulu reputasi tempat, syarikat atau dengan siapa anda menyewa kamera yang bakal digunakan saat bercuti.

2. Lebih murah

Daripada membeli lensa atau kamera yang hanya dipakai beberapa kali, menyewa adalah pilihan tepat.

Anda juga boleh mencuba menyesuaikan kamera dan lensa sesuai dengan keperluan.

3. Menyesuaikan peralatan dengan destinasi atau acara

Semakin banyak tujuan melancong, semakin banyak peralatan fotografi yang disesuaikan dengan keperluan. Menyewa kamera dan peralatan lain antara satu daripada cara terbaik untuk menjimatkan belanja selain meringankan beban bawaan.

Oleh itu, penting untuk membuat kajian tempat yang bakal dituju sebelum memutuskan menyewa kamera.

4. Untuk latihan dan pengendalian yang terbaik

Menyewa kamera dan lensa dengan ukuran yang pelbagai membuatkan anda secara tidak langsung boleh mengendalikan kamera dengan baik dan sudah pasti gambar yang diambil menarik.

Jika sudah tahu serba sedikit berkenaan kamera dan lensanya, bolehlah membeli kamera dan peralatannya yang sesuai dengan lokasi dan tujuan percutian anda.

5. Tidak susah membawa kamera

Ini kerana anda tidak perlu bersusah payah membawa kamera dan lensa yang besar dari rumah hingga sampai ke destinasi.

Pastinya beg lebih ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 12:53 PM