MAHANI (empat dari kanan) dan Najib (empat dari kiri) bersama pekerjanya menunjukkan beberapa menu istimewa.
Muhammad Shalaby Shahbuddin
rencana@hmetro.com.my


Bukan sahaja menu makanan dihidangkan memberi kepuasan dan memenuhi cita rasa pelanggan, malah suasana dalaman restorannya mampu mengembalikan nostalgia tradisional Melayu dengan dekorasi menarik serta sejuk mata memandang.

Bagi mereka yang baru kali pertama melangkah ke Restoran Adam’s Kitchen Coffee and Grill di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pasti rasa berbaloi dan boleh menganggapnya sebagai ‘Best Grill and Coffee’, apatah lagi kreativiti diterapkan menggunakan perabot dan barangan terpakai sebagai hiasan di dalam restoran.

Pemiliknya, Mahani Hussein, 71, berkata, Restoran Adam’s Kitchen sebelum ini diusahakan arwah anak lelakinya, Mohd Zaki Hasan, 35, namun meninggal dunia pada 23 Oktober tahun lalu akibat barah pundi kencing.

Beliau berkata, kini restoran berkenaan diuruskan seorang lagi anaknya, Muhamad Najib, 40, sekali gus menyambung legasi dan minat arwah Mohd Zaki terhadap bidang yang diceburi selain sudah memiliki jenama tersendiri iaitu Adam’s Kitchen.

“Berbekalkan minat mendalam terhadap bidang masakan, arwah Mohd Zaki sentiasa mementingkan kualiti dan keunikan menu serta keselesaan dalam menikmati setiap juadah makanan kepada pelanggan.

“Bukan sahaja mementingkan kualiti menu masakan ala Barat terbaik, malah keselesaan dalam menikmati hidangan di restorannya dengan konsep santai dan tradisional adalah satu kelebihan di Adam’s Kitchen ini,” katanya.

Mahani berkata, konsep berkenaan diserapkan bertujuan mengembalikan nostalgia Melayu tradisional sambil menjamu selera dengan mempamerkan beberapa perhiasan seperti batu giling, dulang berbunga, pengukur kelapa, radio lama dan pelbagai lagi yang mampu membuatkan pelanggan tersenyum hingga telinga.

Beliau berkata, antara hidangan istimewa Adam’s Kitchen yang menarik perhatian adalah ‘Spaghetti Meatballs’ (daging dan ayam) pada harga RM18.90 dan ‘Double Chop Special’ pada harga RM24.90.

“Spaghetti Meatballs unik kerana ramuan daging dan ayamnya dibuat sendiri selain tekstur dan rasanya lembut serta manis.

“Manakala ‘Double Chop Special’ adalah kombinasi ‘lamb chop’ dan ‘chicken chop’ yang dihidangkan bersama kentang lenyek serta rempah diadun sendiri yang mempunyai rasa pedas dan manis sesuai dinikmati semua golongan,” katanya.

Mahani berkata, hidangan lain tidak kurang hebatnya adalah seperti ‘Combo Mixed Platter’ iaitu kombinasi daging kambing, ayam, daging, salad dan banyak lagi bersama tiga sos iaitu lada hitam, cendawan dan pudina yang dicampur dalam satu plet berharga RM40.90 selain ‘Spaghetti Aglio with Prawn’ dan ‘Spaghetti Carbonara’ berharga RM18.90.

Beliau berkata, menu ‘Mashed Potato with Mushroom Sauce’ iaitu kentang lecek dengan sos cendawan dibuat sendiri menggunakan ubi kentang segar dan direbus harus dicuba dan dinikmati pelanggan hanya dengan harga RM7.90.

Menurutnya, menu pembuka selera seperti sup cendawan bersama roti bawang putih antara menu pilihan ramai yang terbaik apabila ia menggunakan cendawan segar dan tidak menggunakan perasa.

“Bagi pelanggan tidak mahu makanan agak berat bolehlah mencuba ‘Grilled Burger’ iaitu daging atau ayam berharga RM13.90 dan ‘Adam’s Club Sandwich’ yang menggabungkan ayam dan daging bersama roti Panin hanya RM13.90.

“Antara menu terbaik diilham dan dicipta sendiri arwah Mohd Zaki adalah pencuci mulut ‘Bread and Butter Pudding’ yang memiliki keunikan dan keenakan rasa tersendiri apabila menggunakan roti buatan sendiri bersama ais krim vanila pada harga RM12.90.

“Manakala, minuman ‘Fancy Juice’ harus dinikmati kerana bahan dan ramuan campurannya pasti memikat hati sesiapa yang pertama kali baru merasainya,” katanya.

Mahani berkata, restoran berkenaan turut dikenali kerana kehebatan kopi seperti ‘Cafe Fredo’ berharga RM11.90 dan ‘Mocha Fredo’ berharga RM12.90 dan seharusnya menjadi pilihan terbaik penggemar kopi apabila berkunjung ke Adam’s Kitchen.

Restoran mampu memuatkan 100 orang dalam satu masa itu beroperasi setiap hari kecuali Rabu bermula jam 12 tengah hari hingga 11 malam, manakala Sabtu dan Ahad dibuka pada jam 2 petang hingga 11 malam.

Ia antara lokasi menarik serta klasik dengan ruang khas untuk majlis sambutan hari jadi, ‘candle light dinner’ dan pelbagai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 12:32 PM