SHUKRI sifatkan adegan dia ‘ditegur’ warga emas ketika menjalani penggambaran di KLIA, kelmarin sebagai insiden kelakar. FOTO - Arkib NSTP
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


“Sepatutnya tanya saya dulu situasi sebenar yang berlaku. Bukan terus membuat andaian sendiri atau tanya orang lain,” pelakon Shukri Yahaya mengenai beberapa laporan media yang menyalah tafsir aksi seorang lelaki warga emas menepuk bahunya ketika menjalani penggambaran bersama pelakon Fadzil Zahari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Shukri berkata, lelaki itu hanya mengusiknya dan bukan seperti laporan yang mengatakan dia ditegur supaya tidak melakukan maksiat.

“Pakcik itu tidak menegur saya langsung. Dia cuma datang mengusik kerana mengenali saya sebagai pelakon.

“Sebenarnya dia tak perasan saya sedang menjalani penggambaran dengan Fadzil. Dia fikir saya hanya buat latihan kerana tak nampak kedudukan kamera,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shukri, lelaki itu tidak menegurnya supaya jangan melakukan maksiat, sebaliknya hanya menepuk bahunya.

“Kenapa pula dia nak kata saya buat maksiat, walhal babak yang dilakukan itu antara lelaki dengan lelaki sedang bersalaman. Itu saja. Malah dalam video jelas dan nyata,” katanya.

Bagaimanapun, Shukri menganggap tindakan spontan lelaki itu sebagai sesuatu yang kelakar.

Aksi yang memaparkan seorang lelaki tiba-tiba menepuk Shukri itu sempat dirakam pelakon dan pengacara, Elly Ariffin hingga menjadi tular di Instagram.

Ketika adegan itu dirakam, Shukri sedang bersalaman dengan Fadzil dengan gaya lemah lembut dan kemudian muncul seorang individu dari arah belakang menegur perbuatan mereka tanpa mengetahui ia adalah sebuah penggambaran drama.

Sementara itu, seorang individu tampil memohon maaf kepada Shukri mewakili bapanya kerana menepuk bahu pelakon itu tempoh hari.

Individu menggunakan akaun Twitter @Iedaa31 berkata, bapanya bertindak demikian berikutan tidak tahu ia adalah sebuah penggambaran drama.

"Video abah tepuk Shukri Yahaya di KLIA ingat tiada orang rakam. Abah minta maaf sebab kacau. Abah tak tahu tengah berlakon," tulisnya di Twitter semalam.

Shukri turut membalas dengan meminta individu tersebut kirim salam kepada bapanya.

"Kirim salam abah awak, abah awak terbaik," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 5:06 PM