SOPHIE Turner
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

Peminat Game of Thrones (GOT) perlu menunggu sehingga tahun depan untuk mengetahui kesudahan siri popular terbitan HBO itu.

Sejak musim ketujuh GOT tamat Ogos tahun lalu, pelbagai spekulasi dan teori timbul.

Baru-baru ini, bintang GOT, Sophie Turner ‘membocorkan’ sedikit maklumat mengenai perkembangan wataknya, Sansa Stark dalam musim depan.

Menurut pelakon berusia 22 tahun itu, Sansa bakal berdepan pelbagai ancaman.

Malah, dia turut mendedahkan wanita itu akan muncul sebagai wira dan berjuang untuk haknya.

“Sansa tahu apa yang dia mahu. Dia tahu pendiriannya dan tahu siapa yang patut berada di sekelilingnya.

“Disebabkan itu, dia berdepan ancaman. Namun, kita tunggu perkembangan seterusnya,” katanya.

Dalam temu bual berasingan dengan Gold Derby, Turner berkata, Sansa mempunyai ciri-ciri seorang pahlawan.

“Saya sering mempunyai perasaan yang Sansa belajar dan cuba menyesuaikan diri. Sehingga di satu tahap, dia menggunakan kelebihan itu untuk menjadi pahlawan.

“Ketika itu, saya dapat rasa kepuasan dan gembira terhadap plot cerita yang dikembangkan untuknya,” katanya.

Sementara itu, Turner mengakui masih sukar menerima hakikat GOT akan mengakhiri kisahnya tahun depan.

“Masih susah untuk saya terima siri ini bakal tamat. Ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 10:11 AM