Sangeeta bersama Richard. FOTO fail HM Digital/IG
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Sangeeta Krishnasamy berkongsi berita gembira apabila dia kini sedang berkawan rapat dengan penyampai radio BFM iaitu Richard Bradbury.

Sangeeta, 32, berkata, perkenalan mereka mula terjalin ketika dia hadir ke konti untuk temu bual mengenai filem Adiwiraku tahun lalu.

"Hubungan kami masih baru. Saya dan Richard masih dalam fasa mengenali hati budi. Saya dah kenal dia sejak setahun yang lalu sebagai kawan.

"Ketika itu, saya datang ke konti untuk ditemu bual olehnya. Sejak itu, kami berkawan,”

Menurut Sangeeta, kehadiran dia dengan Richard di malam Anugerah Bintang Popular BH ke- 31 (ABPBH31) pada Ahad lalu adalah pertemuan pertama kali mereka keluar bersama sebagai pasangan.

Tambah Sangeeta, buat masa ini hubungan mereka berjalan dengan baik namun belum terfikir untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Kalau ada berita baik saya pasti akan kongsikan. Buat masa ini kami selesa berkawan.

“Lagipun saya belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang dalam tempoh terdekat,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 9:24 PM