Acong (tengah) bersama kumpulan Sweetchild. FOTO fail HM Digital
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


BAKAL mengadakan 'showcase' di Singapura, vokalis kumpulan Sweetchild iaitu Acong mengakui tidak sabar menemui peminat mereka di Kota Singa itu.

Katanya, persembahan mereka di negara itu sekali gus menjadi pentas untuk melancarkan lagu baharu berjudul Aku Untuk Mu.

"Tahun lalu, kami adakan showcase di Melaka. Kira-kira 60 peratus penonton yang hadir adalah dari Singapura. Melihat maklum balas itu, kami dapat idea untuk buat showcase di sana pula.

"Sejujurnya, kami teruja dan berdebar menantikan tarikh showcase kerana bulan ini ramai selebriti nama besar yang turut mengadakan konsert di sana. Apa pun, alhamdulillah jualan tiket memberangsangkan," katanya.

Melihat pada tiket hanya dijual pada harga SGD20, kata Acong dia lebih mementingkan jumlah penonton berbanding keuntungan semata-mata.

Bagi Sweetchild, mereka mengutamakan ruang persembahan itu penuh dengan peminat dan tidak hanya pada hasil penjualan tiket semata-mata.

"Seperti yang saya katakan, Oktober adalah bulan yang penuh dengan aktiviti diadakan oleh artis-artis popular. Oleh itu, saya lebih memilih 'crowd' berbanding keuntungan.

"Tambahan pula, konsert ini kami adakan sebagai penghargaan pada peminat di Singapura. Saya sangat berharap mereka akan terhibur dan berpuas hati dengan persembahan kami," katanya.

Showcase Sweetchild bakal diadakan pada 20 Oktober depan di FG Empire Delight Gallery.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 8:35 PM