Farah tidak memilih watak. - FOTO Arkib NSTP.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON Farah Nabilah, 26, tidak akan meletakkan harga tidak masuk akal meski memenangi anugerah Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-31 (ABPBH31) baru-baru ini.

Farah berkata dia yakin penerbit bijak dalam menentukan bayaran untuk pelakon yang menjayakan produksi mereka.

“Kalau saya letak harga mahal, orang tak mahu ambil saya berlakon pula. Saya yakin, penerbit lebih arif menentukan harga sesuai untuk pelakon,” katanya.

Menurut Farah, sepanjang bergelar anak seni dia tidak memilih watak dan akan mengekalkan prinsip itu.

“Tidak kisah watak utama atau pembantu, asal ia meninggalkan impak kuat saya akan terima.

“Saya pentingkan kualiti kerja berbanding kuantiti,” katanya.


Farah menang Artis Baru Wanita Popular ABPBH31. - FOTO Arkib NSTP.

Terbaru, Farah akan terbang ke Eropah untuk menjalani penggambaran program travelog.

“Ini adalah program pertama saya sebagai pengacara. Insya-Allah, saya akan berada di Eropah selama sebulan sehingga November.

“Nama program ini masih dalam perbincangan dan ia untuk tayangan RTM,” katanya.

Selain itu, dia juga akan menjayakan penggambaran filem pertama lakonannya yang akan bermula tahun depan.

“Ini filem pertama saya dan menariknya ia genre aksi. Jadi, saya kena buat persediaan secukupnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 2:46 PM