Diana sentiasa optimis dan positif. - FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“MANA-MANA artis yang terpalit kontroversi atau kes mahkamah akan disenarai hitam atau digam pihak tertentu. Ia sudah jadi lumrah dalam industri seni tanah air,” kata pelakon Datin Diana Danielle ketika diminta mengulas dakwaan suaminya, Datuk Farid Kamil kurang mendapat tawaran berlakon sejak berdepan lima kes pertuduhan jenayah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Januari lalu.

Menurut Diana Farid masih ada tawaran berlakon namun terpaksa menolak kebanyakan watak membabitkan babak aksi.

“Farid baru sahaja menjalani pembedahan lutut baru-baru ini. Dia akan berehat selama empat bulan sehingga lututnya pulih sepenuhnya.

“Buat masa ini Farid hanya boleh menjayakan cerita yang tidak memerlukan dia melakukan babak aksi.

“Kali terakhir Farid berlakon ialah dalam Telefilem Hilang Akal arahan Osman Ali bergandingan dengan Tiz Zaqyah,” katanya.

Selain itu, Diana berharap insan seni yang digam pihak tertentu supaya bersabar dan sentiasa berfikiran positif dengan ujian itu.

“Artis tidak perlu bimbang apabila dilanda gosip mahupun kontroversi kerana ia hanya diperkatakan netizen di media sosial sehari saja dan selepas itu orang akan lupa.

“Mereka perlu banyak bersabar dan jangan sesekali putus asa berdepan situasi sukar itu kerana ia hanya sementara saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 5:47 PM