SINGLE terbaru Siti Nurhaliza berjudul Anta Permana yang bermaksud tidak terkira atau infiniti dalam bahasa Melayu klasik. FOTO ihsan SNP.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


SINGLE terbaru penyanyi terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Anta Permana yang baru dilancarkan hari ini berada di kedudukan teratas carta iTunes Malaysia.

Malah #AntaPermana turut trending ‘worldwide’ di laman Twitter sejak tengah malam tadi.

Siti, 39, atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata, lagu ciptaan sepenuhnya Hael Husaini dan Ezra Kong itu turut dilancarkan serentak di semua platform digital dan radio tempatan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sambutan dan maklum balas diterima. Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong lagu saya.

“Ini adalah kerjasama pertama antara saya dengan Hael dan Ezra. Ia tercetus apabila Hael menyatakan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya kepada saya sejak Februari lalu.

“Kali pertama diperdengarkan demo lagu ini pada Mei, saya terus tertarik dan bersetuju untuk merakamkannya. Proses rakaman dibuat bulan lalu berjalan lancar,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai lagu terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd dan edaran Universal Music Malaysia itu, Siti berkata, Anta Permana diambil daripada perkataan Melayu klasik yang bermaksud ‘tidak terkira’ atau infiniti.

“Lagu ini mengisahkan cinta sejati tiada bandingannya. Pemilihan judul lagu ini selain maknanya yang bertepatan lirik lagu, saya berusaha memperkenalkan kembali perkataan Melayu klasik yang jarang digunakan.

“Saya menaruh harapan tinggi dengan kemunculan single terbaru ini dan berharap peminat muzik tempatan akan menyukainya.

“Sejujurnya, Anta Permana adalah sebuah lagu segar, mesra telinga dan ada keunikan dengan gabungan muzik moden dan klasik,” katanya.

Menurut Siti, muzik video rasmi yang mendapat sentuhan Rifaiee Omar daripada Rio Films Production akan dilancarkan minggu depan di laman YouTube menerusi saluran DatoSNurhalizaVEVO.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 9:25 AM