KHATIJAH di hadapan reetoran Khadijah's Kitchen, Shah Alam yang sudah ditutup. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PENYANYI terkenal Datuk Khadijah Ibrahim menafikan dirinya terkilan apabila terpaksa menutup cawangan restoran Khadijah’s Kitchen di Shah Alam pada tahun lalu.

Menurut Khadijah, dia memutuskan untuk menutup cawangan restorannya di lokasi terbabit kerana sewanya terlalu mahal.

“Saya buat keputusan untuk menutup operasi restoran di lokasi itu kerana sewanya mencecah RM23,000 sebulan.

“Saya berasa terkejut dengan harga sewa yang ditetapkan pihak pengurusan premis itu.

“Bagi saya harga sewa itu tidak masuk akal dan saya boleh buka enam lagi cawangan restoran dengan jumlah wang sebanyak itu,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya penerimaan peminat pula, kata Khadijah, dia percaya peminatnya dapat menerima berita penutupan cawangan restoran di Shah Alam dengan hati terbuka.

“Maklumlah restoran Khadijah’s Kitchen di Petaling Jaya sudah beroperasi selama 12 tahun.

“Semua peminat setia sama ada dari jauh atau dekat, memang sedia maklum dengan lokasi itu dan mesti akan berkunjung ke restoran saya di Petaling Jaya sejak dulu.

“Anak saya, Hajar yang menguruskan operasi restoran di sini sepenuhnya termasuk menjual kek dan ais krim. Saya pula lebih fokus pada menu masakan kampung,” katanya.

Bagaimanapun, kata Khadijah, dia merancang untuk menyajikan menu khusus untuk sarapan pagi di sebelah restoran miliknya di Petaling Jaya pada penghujung bulan ini.

“Idea untuk buat menu sarapan pagi ini bermula bila saya teringat zaman kanak-kanak dulu makan nasi lemak di Singapura.

“Menu sarapan pagi iaitu KT Breakfast hanya akan beroperasi di sebelah restoran Khadijah Kitchen’s di Petaling Jaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 6:57 PM