CONSTANCE Wu
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Sebelum mendapat tawaran membintangi filem Crazy Rich Asians, Constance Wu mendedahkan dia hampir putus asa dalam mengejar impian sebagai pelakon.

Constance, 36, juga pernah berhutang lebih RM41,000 dengan bank terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kehidupan.

Menurut pelakon berketurunan Taiwan-Amerika Syarikat (AS) ini, kesukaran hidup di Los Angeles (AS) membuatkan dia hampir meninggalkan bidang lakonan.

“Saya pokai ketika itu. Saya berhutang puluhan ribu dan tidak dapat membayar ansuran kereta, kad kredit, pinjaman pelajaran dan hal peribadi yang lain.

“Bayaran yuran di kolej pun saya terpaksa tanggung sendiri. Saya tiada teman lelaki, hidup sendirian dan sangat kesunyian. Saya sangat baru di kota itu dan tiada kenalan pun di sana,” katanya.

Walaupun semangatnya untuk mengejar impian menjadi pelakon berkobar-kobar, Constance terfikir sama ada dia mahu meneruskannya atau tidak.

Apatah lagi peluangnya sangat terhad memandangkan industri lakonan di sana lebih mengutamakan pelakon kulit putih.

“Saya pernah bekerja sebagai pelayan restoran, pengasuh dan pembantu peribadi. Setiap uji bakat yang saya hadiri berakhir dengan kekecewaan.

“Ketika itu saya terfikir adakah sesuatu yang membanggakan jika masih menjadi pelayan restoran pada usia 45 tahun?” katanya.

Bagaimanapun, Constance cekalkan semangatnya disebabkan cinta terhadap lakonan mengatasi segala-galanya.

Dia mengakui kesukaran itulah yang sebenarnya mengajar dia untuk terus mencari inisiatif memperbaiki lakonan serta tampilkan keunikan tersendiri.

“Bagi saya, tidak kisah jika tak memiliki kehidupan stabil asalkan tetap melakukan sesuatu yang sangat dicintai. Dari situlah saya mendapat sedikit ketenangan dan menutup kesukaran depan mata.

“Hampir terfikir mahu lupakan lakonan, itulah yang membuatkan saya lebih fokus untuk tampil unik di setiap uji bakat. Selepas itu, barulah saya mula mendapat tawaran demi tawaran,” katanya.

Pada 2015, Constance pertama kali diberikan watak besar sebagai Jessica Huang dalam program komedi Fresh Off the Boat.

Crazy Rich Asians bakal ditayangkan di pawagam bermula 22 Ogos dan menampilkan lakonan termasuk Henry Golding, Tan Sri Michelle Yeoh, Awkwafina, Gemma Chan, Ken Jeong, Sonoya Mizuno, Chris Pang dan Kris Aquino.

Filem arahan Jon M Chu ini mencipta sejarah besar dalam perfileman Hollywood apabila menjadi filem pertama produksi gergasi dalam tempoh 25 tahun yang menampilkan dominasi pelakon Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 1:41 PM