Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


SELEPAS mencatat kutipan lebih RM1 juta dalam masa kurang seminggu, filem Pulang kini tersenarai dalam pertandingan di Asia Pacific Screen Awards 2018 yang akan berlangsung di Brisbane.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkongsi berita itu ketika ditemui pada Majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham Omar berlangsung di Balai Berita, NSTP, hari ini.

“Saya pun baru dapat berita ini dan masih ‘panas’ lagi. Daripada apa dimaklumkan kepada saya, Pulang baru tersenarai dalam pertandingan itu.

“Insya-Allah, kita akan menghantar Pulang menyertai beberapa festival filem lain juga selepas ini,” katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, Izham, 49, yang juga pencetus idea asal filem itu berkata, pihaknya akan memasarkan Pulang ke beberapa negara lain.

“Pulang adalah filem yang bertemakan kekeluargaan dan ‘universal’. Jadi, saya yakin ia boleh diterima bukan saja di Malaysia, bahkan di negara-negara luar.

“Buat masa sekarang, Pulang sudah ditayangkan di Brunei Darussalam dan respon yang diterima sangat baik. Insya-Allah, ia akan dibawa ke beberapa negara lain lagi,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran jumlah kutipan yang disasarkan, Izham meletakkan angka RM4 juta ke RM5 juta.

“Kalau dapat kutipan RM4 juta atau RM5 juta pun sudah boleh membuat saya gembira. Paling penting adalah reaksi daripada penonton terutamanya di media sosial.

“Saya harap, Pulang akan jadi penanda aras untuk industri filem Melayu dari segi kualiti dan jalan ceritanya,” katanya.

Pulang dibintangi Remy Ishak, Puteri Aishah, Azrel Ismail, Erwin Dawson dan ramai lagi dan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 26 Julai lalu.

Majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham berkisar mengenai jalan cerita sebenar di sebalik filem Pulang dan pengalamannya menjejaki pusara datuknya, Othman.

Turut hadir, bapanya, Omar Othman, 76, yang menjadi saksi hidup dan berkongsi kisahnya yang mencari bapanya di Liverpool selepas 20 tahun terpisah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 7:02 PM
Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Omar (kanan) dan anaknya, Ahmad Izham Omar di Balai Berita, Bangsar. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN