FILEM Pulang berjaya menyentuh emosi penonton.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Diadaptasi daripada kisah benar yang pernah berlaku dalam keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios Datuk Ahmad Izham Omar hampir 80 tahun lalu, filem Pulang dilihat berjaya menyentuh emosi penonton hingga ada mengalirkan air mata.

Melihat respons positif pada malam tayangan perdana filem terbitan Primeworks Studios di GSC Pavilion baru-baru ini, rata-rata penonton menyukai jalan cerita serta sinematografi yang dianggap luar biasa.

Malah, nilai kasih sayang dan semangat kekeluargaan yang diterapkan dalam filem ini membuatkan penonton setia berada di dalam panggung menyaksikan filem arahan Khabia Bhatia ini.

Apa yang pasti, lakonan Remy Ishak tidak perlu disangkal lagi apabila berjaya membawakan watak sebagai Othman dengan baik sehingga ke penghujungnya.

Selain Remy, filem ini turut dibintangi Puteri Aishah, Azrel Ismail, Erwin Dawson dan Alvin Wong sebagai tunggak utama.

Menurut Khabir, setiap pelakon melalui proses uji bakat dan menepati piawaian yang dikehendakinya.

“Pemilihan pelakon dibuat menerusi uji bakat termasuk Remy. Saya memilihnya kerana kebetulan dia orang Melaka. Satu lagi kebetulan ialah satu watak yang digambarkan dalam filem ini adalah bapa saudara Remy.

“Lagipun, gandingannya dengan Puteri Aishah juga nampak serasi dan saya percaya mereka mampu memberikan hasil terbaik buat penonton nanti,” katanya.

Menurut Kabir, Pulang disifatkan karya kemunculan semula buat dirinya yang sudah lama tidak mengarahkan filem genre cinta seperti Nur Kasih, Sepi dan Cinta.


KABIR bersama barisan pelakon.

“Saya bersetuju mengarah Pulang kerana ia bukan kisah cinta biasa, sebaliknya penantian seorang wanita selama 61 tahun untuk bertemu semula dengan suaminya.

“Biarpun saya pernah terdetik untuk berehat mengarahkan filem genre cinta, saya sedar kekuatan saya sememangnya pada genre seperti ini.

“Saya juga beruntung kerana diberi kebebasan berkarya dan berpeluang bekerja dengan kru produksi yang hebat serta memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang 60 hari penggambaran di Pantai Penarik, Terengganu dan Setapak, Kuala Lumpur, dua tahun lalu,” katanya.

Pulang mengisahkan Thom yang berusia 80-an selalu bermimpi dan setiap kali terjaga akan mendapati cucunya Ahmad (Erwin) berada di sebelahnya.

Thom menyuruh Ahmad mencari datuknya tetapi masalah timbul kerana Ahmad tidak pernah mengenali Othman.

Thom menyuruh Ahmad bertanyakan bapanya, Omar (Azrel) mengenai datuknya dan dari situlah sedikit sebanyak maklumat mengenai Othman diperoleh.

Ahmad seterusnya memulakan misi perjalanan mencari datuknya.

Pulang bakal menemui penonton di pawagam mulai 26 Julai ini.


ANTARA babak dalam filem Pulang.

Pulang sentimental buat Remy

Remy Ishak menyifatkan Pulang sebuah filem yang sangat bernilai sentimental buat dirinya.

“Banyak perkara yang berlaku dan saya tempuhi dalam kehidupan peribadi sewaktu menjayakan penggambaran filem ini.

“Ada babak dalam air yang memerlukan saya menahan nafas dalam jangka masa yang lama. Ketika itu saya memang mengalami satu perasaan fobia terhadap air kerana pernah berdepan kejadian hampir lemas ketika membantu seorang individu yang lemas ketika berkelah,” katanya.

Remy berkata, teknik imej janaan komputer (CGI) adalah komponen utama dalam filem ini dan dia terpaksa membiasakan diri menggunakan banyak imaginasi sewaktu menjalani penggambaran babak layar hijau.


REMY dan Puteri Aishah sebagai teraju utama.

Memandangkan wataknya bermula sebagai seorang nelayan, Remy juga perlu menjalani latihan mendayung sampan kira-kira seminggu sebelum tarikh penggambaran sebenar bermula.

“Imaginasi adalah perkara paling penting bagi saya untuk menghayati watak Othman kerana kebanyakan kejadian yang berlaku semuanya menggunakan teknik CGI, jadi ia mengambil masa dan beberapa kali rakaman.

“Saya bernasib baik kerana bukan seorang yang mabuk laut, jadi kebanyakan babak di atas sampan berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu fokus lakonan saya,”katanya.

Pueri Aishah gementar, Azrel teruja

Puteri Aishah yang menjayakan watak Cik Thom mengakui gementar untuk melihat maklum balas daripada penonton memandangkan ini adalah filem pertama lakonannya.

“Saya akui banyak kekurangan yang perlu dibaiki. Namun, saya sudah memberikan yang terbaik dan berharap peminat dapat menerima lakonan pertama saya di layar perak. Namun, sebagai pendatang baru, saya terbuka untuk sebarang kritikan membina untuk kebaikan kerjaya pada masa depan,” katanya yang mengikuti kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar selama sebulan.


ANTARA babak dalam filem Pulang.

Azrel yang membawakan watak Omar pula teruja dan bersyukur apabila turut terpilih menjayakan filem arahan Kabir yang dianggapnya sebagai pengarah ‘versatile’.

“Saya teruja apabila dipilih menerajui watak sebagai anak Remy. Sebelum ini, ramai yang mengatakan saya ada iras seperti Remy.

“Berpeluang berlakon dengannya, saya sangat teruja kerana banyak perkara yang saya belajar dan kami ibarat sebuah keluarga yang sama-sama ingin melihat filem ini berjaya mencipta rekod tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 12:46 PM