Michael Ang. FOTO MUNIRA ABDUL GHANI
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PENGARAH drama bersiri, Rahsia Hati Perempuan, Micheal Ang menjelaskan karya terbaru arahannya itu tidak terkesan dengan kontroversi membabitkan salah seorang pelakon utamanya, Uqasha Senrose ditahan pihak berkuasa dan didakwa ‘lalok’.

Uqasha, minggu lalu menafikan dakwaan dirinya dalam keadaan khayal semasa ditahan pihak polis dan memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Eramin 5.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan kenyataan pelakon yang popular menerusi drama Tundukkan Playboy Itu menegaskan dia tidak 'lalok' seperti didakwa malah ujian air kencing dilakukan terhadapnya juga negatif.

Micheal dihubungi, hari ini berkata, mengapa perkara yang tidak benar mengenai Uqasha itu harus dikaitkan dengan drama Rahsia Hati Perempuan.

“Sejak Rahsia Hati Perempuan disiarkan kelmarin di Astro Ria, saya mendapat banyak maklum balas positif. Tidak kurang juga memuji lakonan empat pelakon utama drama itu termasuk Uqasha.

“Berbanding Coffee Prince dulu, saya akui Rahsia Hati Perempuan langsung tidak menerima maklum balas negatif di semua laman sosial media seperti di Twitter dan Instagram,” katanya.

Kata Michael lagi:”Tidak adil sekiranya perkara itu mahu dikaitkan dengan drama lakonan aktres itu.

“Sebaiknya kita jangan menghukum sebelum keputusan diumumkan. Sudah terbukti segala dikaitkan dengan Uqasha adalah tidak benar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 6:58 PM