Hairi anggap rezeki bertambah sekarang. FOTO MAHZIR MAT ISA
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


“ITU melampau! Mana ada?” tegas pelakon Hairi Safwan, 30, menafikan dakwaan segelintir pihak dirinya kini ditanggung isteri.

Pelakon berasal dari Perlis itu mendakwa mungkin disebabkan jarang keluar di media arus perdana, peminat menganggap dia tiada lagi tawaran berlakon.

“Saya anggap rezeki anak dan isteri sentiasa bertambah. Saya ‘survive’ dengan persatuan teater, mengajar kelas lakonan dan baru saja bergelar pengarah untuk siri Kisah Dari Mekah,” kata juara program realiti Anak Wayang 2009.

Selain itu, Hairi baru selesai penggambaran filem Operasi-X dan sedang menjalani latihan teater Bangsawan Dendam Laksamana selama sebulan.

Selain berlakon, dia turut menjalankan bisnes menjual produk makanan kesihatan.

“Selepas berkahwin, saya tidak pernah memperlahankan kerjaya seni. Saya sentiasa anggap ada rezeki lain di depan,” katanya.

Hairi berkahwin dengan guru sekolah rendah, Fara Afiza Azman pada 22 Mac 2014 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua anak, Arif Haikal, tiga tahun dan bongsu, Azad hakim, satu tahun tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 4:25 PM