Aman RA fokus terhadap kerjaya seni. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI rap, Aman RA, 31, tidak mahu terlalu mendedahkan perihal peribadi dan keluarganya tetapi ingin diberi perhatian kepada kerjaya seninya.

“Saya rasa, bukan saya saja yang mahukan privasi untuk keluarga dan peribadi. Bukan apa, kalau boleh, saya nak peminat fokus kepada kerjaya seni saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aman atau nama sebenar Aman Jamaluddin, populariti bukan perkara utama dikejarnya dalam industri.

“Saya sudah berada di dalam industri sejak 11 tahun lalu dan sehingga kini terus berkarya. Jika ditanya mengenai populariti, itu bukanlah perkara saya kejar.

“Bagi saya, yang penting adalah kualiti sesuatu karya berbanding populariti. Itu lebih puas,” katanya.

Bukan mengelak, Aman yang popular menerusi lagu Budak Flat itu tidak mahu terlalu berbicara mengenai populariti sebagai artis.

“Saya tak elak kerana saya tahu, sebagai artis, saya takkan boleh elak daripada lampu sorot populariti.

“Cumanya, ia bukanlah perkara yang saya ingin bincangkan dalam ‘medan perbincangan’ saya. Alhamdulillah, peminat dan mereka yang kenal saya, faham kehendak saya itu,” katanya.

Terbaru, Aman kini sedang mempromosikan single barunya berjudul Tabah yang juga projek kolaborasi khas bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 4:14 PM