Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

Drama Patahnya Sebelah Sayap lakonan Ummi Nazeera dan Aeril Zafrel yang disiarkan di TV3 sebelum ini nyata memberi impak besar buat peminat drama Melayu.

Ketabahan Alisha (Ummi Nazeera) mengharungi fitnah dan cemuhan dek dituduh sebagai pembunuh menyentuh hati sekali gus mencatat jumlah penonton sehingga 3.2 juta.

Bagi menghargai sambutan ini, kesinambungan drama ini, Patahnya Sebelah Sayap Selembut Salam Kemaafan mula bersiaran pada 22 Mei ini.

Drama istimewa ini membabitkan empat episod dan disiarkan selama 10 minit setiap Selasa, bermula jam 9.50 malam.

Jalan ceritanya mengisahkan kehidupan Alisha 10 tahun kemudian apabila mendirikan rumah tangga dengan Kuzairi dan dikurniakan anak perempuan, Tasha (Alyssa Dezek) berusia 9 tahun.

Alisha adalah isteri dan ibu yang penyayang selain hebat dan rendah diri. Suatu hari, ketika menghadiri mesyuarat PIBG Tasha, seorang ibu pelajar di sekolah itu mengenali Tasha dan sejarah silamnya.

Dia kemudian memberi amaran kepada anak perempuannya, Hanna untuk menjauhi Tasha.

Berita tersebar luas di kalangan murid. Hanna mempengaruhi kawan lain untuk menjauhi Tasha. Tasha merasa dirinya dibuli, terpinggir dan sering menangis sendirian.

Makcik Salbiah (Normah Damanhuri) melihat kejadian itu dan menghiburkan Tasha yang mereka menjadi kawan. Alisha juga setiap malam memperdengarkan Tasha ayat yang penuh kasih sayang dan untuk menjadi seorang yang baik.

Seakan-akan menerima balasan, Hanna ditangkap kerana merosakkan harta sekolah. Tasha dan Mak Cik Salbiah tampil mendedahkan kebenaran kepada guru disiplin sekali gus menyelamatkan Hanna. Hanna berasa tersentuh dan menjadi kawan Tasha.

Tasha menghargai bantuan makcik Salbiah dan memberikan karipap beku ibunya. Apabila makcik Salbiah sedar Tasha adalah anak Alisha, dia berasa malu dan menjauhkan diri tanpa sebarang penjelasan.

Alisha menghiburkan Tasha yang sedih dengan perubahan makcik Salbiah. Makcik Salbiah pula mula berubah selepas mengikuti ceramah mengenai pemberian dan kemaafan. Dia kemudiannya mendapat kekuatan untuk bertemu dengan keluarga Tasha dan meminta maaf.

Sentuhan salam kemaafan menjadikan pagi itu adalah sambutan Aidilfitri yang cukup beremosi di mana semua orang bergembira dan bersalam-salaman seindah sentuhan salam kemaafan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 7:00 AM