KUMPULAN Low Flowinder dari UiTM membuat persembahan di Starhill Kuala Lumpur.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Penganjuran tahun ketujuh World Youth Jazz Festival 2018 (WYJF) di ibu kota selama tiga hari, baru-baru ini menerima sambutan hangat penggemar muzik jaz dalam kalangan belia.

Ribuan penonton hadir di pekarangan Starhill dan Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyaksikan persembahan 15 pemuzik hebat tanah air dan antarabangsa.

Istimewanya, WYJF buat julung kali menjemput pemuzik dari Bangladesh dengan memperkenalkan kumpulan Imran Ahmad Trio.

Pengasas WYJF Datuk Nik A Azmi berkata, penganjuran kali ini menampilkan kelainan apabila memilih lokasi berbeza untuk memperkenalkan muzik jaz kepada umum.

“Dua tahun lalu, acara ini berlangsung di Dataran Merdeka dan menerima sambutan luar biasa apabila persembahan jaz disaksikan lebih 22,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara berlangsung.

“Kali ini, kami mengambil keputusan untuk tukar ke lokasi bertutup kerana sejak kebelakangan ini, cuaca kurang baik,” katanya.

Menurut Nik, pihaknya sentiasa menerima permintaan luar biasa daripada pemuzik antarabangsa untuk membuat persembahan di acara berkenaan.

“Sebanyak 70 pemuzik dari Amerika Syarikat, Jerman, Brazil dan Venezuela meluahkan hasrat ingin menyertai WYJF.

“Bagaimanapun, kami terpaksa menolak banyak permohonan dan pilih yang terbaik,” katanya.

Turut memeriahkan pentas WYJF 2018 adalah Magnitudo, Return of the Waves, Lewis Pragasam, Steve Thornton, Four Corners, Fieldplayers, Newsound dan Imran Aiman.

Barisan pemuzik antarabangsa adalah Grzegorz Karnas Formula (Poland), Matti Klein Trio (Jerman) dan Boy Katindig’s Selection: Rey Infante Trio (Filipina).

Dari Indonesia pula adalah kumpulan Ricad Hutapea Power Band, Indro’s Jazz Muda Indonesia Jazz Muda Indonesia dan Tompi.

Selain itu, acara diserikan dengan persembahan bintang 988FM, Danny One serta kumpulan Low Flowinder dianggotai penuntut berbakat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 3:28 AM