TAMAT kontrak secara baik bukan disebabkan wujud persengketaan.
HM Digital

Annyeonghaseyo! Selepas bertahun-tahun bernaung di bawah agensi gergasi YG Entertainment, PSY akhirnya memutuskan untuk menamatkan kontrak dengan agensi berkenaan.

Jurucakap YG berkata, penyanyi fenomena itu menamatkan kontrak itu secara baik dan bukan disebabkan wujud sebarang persengketaan.

Pihak agensi juga menghormati keputusannya bagi memberi laluan kepada PSY meneroka kerjayanya lebih jauh.

“Kami ingin memaklumkan YG Entertainment memutuskan untuk tamatkan kontrak eksklusif bersama PSY.

“Selepas perbincangan mendalam, kami menghormati keputusannya untuk mencuba cabaran baru. YG dan PSY sudah bersama lebih lapan tahun menerusi hubungan yang istimewa dan setia.

“Selepas mengerah sokongan dan usaha terhadap kesungguhan serta tenaganya dalam muzik, kami dapat berkongsi kegembiraan menerusi fenomena Gangnam Style,” menurut kenyataan itu.

Tidak dinafikan, YG memainkan peranan yang cukup besar dalam kerjaya PSY. Kepercayaan mereka terhadapnya terbayar apabila beberapa tahun lalu penyanyi terbabit mencipta fenomena di seluruh dunia.

Sejak itu, dia terus menjadi aset terpenting syarikat berkenaan disebabkan keuntungan yang dibawanya seorang saja cukup bermakna.

Ramai pastinya melihat penamatan kontrak itu sesuatu yang merugikan syarikat berkenaan. Bagaimanapun, agensi terbabit akan terus menyokong kerjayanya sampai bila-bila.

“Tolak tepi mengenai soal kontrak eksklusif itu. Hubungan erat antara YG dan PSY akan tetap berkekalan selama-lamanya.

“Kami sokong dan harapkan yang terbaik untuk PSY terhadap cabaran mendatang kepadanya. Terima kasih juga kepada peminat dan semua yang sayangkan PSY serta artis YG lain,” katanya.

Walaupun belum ada pengesahan mengenai perancangan masa depan PSY, YG menekankan keputusan berkenaan berakhir dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 3:24 AM