Deja Moss. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI Deja Moss mengakui bersedia untuk hidup solo apabila bakal bercerai dengan suami, Azfendy Azzuddin Ahmad, 39 pada 23 Mei ini.

Deja atau Sharifah Hadijah Wan Moss, 45, berkata dia tidak pernah membayangkan perkahwinan dibina dengan suami sejak sembilan tahun lalu berakhir dengan perceraian.

"Saya tidak menjangka perkahwinan dibina bakal berakhir. Selama ini saya mengimpikan kehidupan yang indah dalam perkahwinan. Sebaliknya tidak berlaku kepada saya.

"Jadi, apabila mendapat notis untuk hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur awal April lalu, saya nekad meskipun sebelumnya sedia untuk hidup bermadu. Saya reda dengan ketentuan ini," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai kehidupan sekarang, Deja yang popular dengan lagu Asmara Ini mengakui lebih tenang dan banyak mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan rasa lebih tenang selepas berdepan banyak perkara. Setiap malam saya menghadiri majlis ilmu di masjid.'

"Tidak dinafikan, kalau tidak ada ilmu susah nak berhujah. Jadi, saya gunakan kesempatan yang ada untuk menimba ilmu pengetahuan terutama ajaran agama Islam," katanya.

Deja dan suami berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Deja ditemui pada sesi ramah mesra anak seni bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, petang tadi.

Majlis dihadiri rakan artis lain seperti Sharifah Amani, Safura, Fatimah Abu Bakar, Fauziah Nawi, Datuk Freddie Fernandez, Ben Ali, Erwin Dawson dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 8:40 PM